Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) kini memperketat pemantauan di 11 kawasan pantai di daerah ini dengan larangan pemasangan khemah awam. Langkah ini, yang dikuatkuasakan menerusi Undang-Undang Kecil (UUK) MPPD, bertujuan memastikan persekitaran yang lebih bersih dan teratur.
Berdasarkan pemantauan Jabatan Penguatkuasaan MPPD, pelanggaran seperti perkhemahan tanpa kebenaran, minum minuman keras di tempat awam dan pembakaran unggun api turut dikawal bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap pengunjung lain.
Namun, larangan khemah ini menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen setelah video hebahan MPPD yang meminta pengunjung segera menanggalkan khemah mereka tular di media sosial.
Netizen kecam, seru boikot
Ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan peraturan tersebut, malah ada yang menggesa agar pantai Port Dickson diboikot.
Seorang netizen mempersoalkan larangan ini dengan menyatakan bahawa khemah sering digunakan untuk keperluan asas seperti tempat anak kecil tidur atau menukar pakaian, bukan untuk berkhemah berhari-hari.
“Dah nama pun pantai, orang nak rehat, berkelah, santai. Bukan nak tidur seminggu. Kadang-kadang pasang khemah sebab anak kecil nak tidur, isteri nak tukar baju. Takkan nak pasang khemah tengah pekan?”
Seorang lagi turut meluahkan rasa kecewa dan mencadangkan agar orang ramai memilih lokasi lain untuk berkelah.
“Saya orang Negeri Sembilan, kalau begini caranya MPPD jalankan tugas, tak perlulah pergi pantai PD lagi. Lepas ni pindah ke Pantai Kelebang.”
‘Boikot pantai Port Dickson!’

‘PD ni nak buat duit je’

‘Kes ni la orang Malaysia suka pergi Thailand’

Walaupun ramai yang membantah, ada juga yang menyokong peraturan ini kerana percaya ia dapat mengekalkan kebersihan kawasan pantai. Beberapa pihak mencadangkan agar MPPD menyediakan kawasan khusus untuk perkhemahan dengan kemudahan yang lebih baik.
MPPD menegaskan bahawa larangan ini telah dimaklumkan lebih awal melalui papan notis dan hebahan media sosial, selain boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 di bawah Undang-Undang Kecil Taman (MPPD) 2008 bagi mereka yang ingkar.
Sumber: FB Majlis Perbandaran Port Dickson, Harian Metro, Ofterkini








