Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengulas politik konservatif, wartawan, dan penulis Amerika Syarikat, Bill O’Reilly, memperlekehkan lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia, Vietnam dan Kemboja dengan nada sinis.
Dalam satu hantaran klip video di rancangan No Spin News, beliau mempersoalkan tujuan kunjungan Xi Jinping ke tiga negara Asia Tenggara ini.
“Hai Presiden Xi, biar saya berterus terang, mereka tiada duit langsung. Mereka tak boleh bantu kamu, mereka tak akan beli barang kamu sebab mereka tak ada duit.
“Mungkin dia pergi ke sana untuk cuba seludup barangan China bawah label Vietnam. Tapi itu akan mudah terbongkar,” katanya.
O’Reilly turut menyentuh isu hubungan dagang antara China dan Amerika Syarikat.
“Jadi saya pun tak tahu lawatan ini tentang apa. Kalau China kehilangan pasaran Amerika Syarikat… Tapi saya masih percaya akan ada détente – pengenduran ketegangan (konflik). Namun ia sudah rosak. Ia betul-betul kacau.
“Sebab kami ada duit, kami beli barang. ‘Orang Melayu’ takkan beli barang kamu sebab mereka tiada duit,” katanya lagi.
O’Reilly kekal sebagai figura kontroversi dalam landskap media Amerika, dengan pandangan konservatifnya terus mempengaruhi perbincangan politik di negara itu.
Selepas meninggalkan Fox News, O’Reilly melancarkan platform digitalnya sendiri di BillOReilly.com, di mana beliau mengendalikan rancangan No Spin News.
Terdahulu, lawatan negara Xi Jinping selama tiga hari ke Malaysia bermula Selasa atas undangan rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menjadikan ini lawatan rasmi kedua beliau ke Malaysia selepas kunjungan pada 2013 yang menyaksikan hubungan diplomatik dipertingkat kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Dalam lawatan tersebut, turut berlangsung pertukaran sebanyak 31 Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian dan nota antara Malaysia dan China.








