Bila hilang kuasa baru nak cakap soal Melayu dan Islam - Anwar | The Reporter

Bila hilang kuasa baru nak cakap soal Melayu dan Islam – Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama para hadirin semasa Sambutan Hari Pekerja 2025 di Bukit Jalil.
Anwar Ibrahim menyapa mesra hadirin selepas menyampaikan ucapan di Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan, Bukit Jalil. | Gambar: FB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kerajaan kini berada di landasan terbaik untuk membina jumlah perumahan rakyat paling tinggi dalam sejarah negara, sambil menyelar pihak-pihak yang sebelum ini memegang kuasa namun gagal memenuhi keperluan asas rakyat.

Dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Anwar melahirkan rasa kecewa terhadap sikap sesetengah bekas pemimpin yang hanya membangkitkan isu perjuangan Melayu dan Islam selepas kehilangan kuasa, sedangkan ketika berkuasa, mereka didakwa mengabaikan kebajikan rakyat.

“Masa kamu ada kuasa, kamu tak fikir rumah rakyat, kamu timbun harta. Sekarang bila hilang kuasa, kamu bicara soal Melayu, hidup Melayu, martabatkan Islam. Bagaimana kita boleh martabatkan Melayu dan Islam kalau ketika berkuasa kamu gagal membela nasib rakyat?” katanya dengan nada tegas.

Anwar menekankan bahawa isu perumahan bukan sekadar soal fizikal, tetapi lambang keadilan sosial dan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat. Menurut beliau, kerajaan Madani bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan lalu dengan membiarkan rakyat hidup dalam kesempitan sementara pemimpin mengumpul kekayaan.

Beliau turut mengumumkan usaha mempercepatkan proses pembangunan rumah mampu milik di kawasan bandar utama yang padat dan sesak, dengan kerjasama rapat antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pihak berkuasa tempatan, serta sektor swasta.

“Kerajaan ini tidak akan membiarkan rakyat menunggu bertahun-tahun untuk rumah. Kita mahu rumah siap, bukan sekadar janji atas kertas. Kita akan pastikan urusan kelulusan dipercepatkan dan pengawasan rapi dijalankan,” tambah Anwar.

Majlis yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong itu menyaksikan komitmen kerajaan untuk menjadikan aspek kebajikan dan keperluan hidup rakyat sebagai keutamaan mutlak dalam pentadbiran negara.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts