'Bila berpusing di tiang, saya rasa cantik' - Nenek 78 tahun, penari tiang tertua di China - The Reporter

‘Bila berpusing di tiang, saya rasa cantik’ – Nenek 78 tahun, penari tiang tertua di China

Dai Dali

Dai Dali, 78, dikenali sebagai penari tiang tertua di China. Beliau, yang berasal dari Sichuan, Barat Daya China, telah mula menari tiang sejak bersara pada usia 64 tahun.

Dengan solekan yang menawan, memakai skirt mini dan berkasut tumit tinggi, Dai dengan mudah menarik perhatian pengikutnya yang berjumlah 180,000 di Douyin dengan gerakan menarinya yang memukau.

Usia bukan penghalang

Menurut Dai, beliau tidak mahu usia menjadi penghalang dan ingin ‘menua dengan anggun’, serta terus menikmati hobinya hingga ke usia 80-an.

Sepanjang tempoh penglibatannya dalam aktiviti itu, Dai telah memenangi pingat emas dalam pertandingan menari tiang profesional ketika berusia 70 tahun dan sejak itu, telah menunjukkan bakatnya dalam pelbagai program televisyen, serta mewakili China dalam pertandingan Asia’s Got Talent.

Dalam satu wawancara, Dai berkata beliau sering mengadu tentang keradangan dan bengkak di bahagian pergelangan tangan kirinya sebelum mula menari tiang. Namun, setelah menjalani latihan beberapa tahun, beliau telah mencapai peningkatan yang luar biasa dalam teknik dan kelenturannya.

Abai komen negatif

Walaupun ada yang mengkritik hobinya sebagai ‘menggoda’ dan ‘seksual’, Dai memilih untuk mengabaikan komen negatif tersebut.

“Bila saya berpusing di tiang dan melakukan gerakan yang saya suka, saya merasa cantik,” katanya.

Keluarga Dai merupakan penyokong setianya. Cucunya telah menjadi peminat hobi neneknya sejak kecil. Suaminya bagaimanapun lebih suka bermain mahjong pada waktu lapang.

Semangat dan dedikasi menari tiang yang ditunjukkan oleh Dai benar-benar memberi inspirasi kepada orang. Sekali gus membuktikan bahawa usia hanyalah angka.

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!