Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Berita baik untuk pengguna jalan raya yang mempunyai saman tertunggak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga jenis kesalahan selama enam bulan bermula esok.
Tawaran ini diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang memaklumkan tiga jenis notis saman terlibat ialah Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), Notis Temu Siasat (114), dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
“Biasanya, kompaun bagi ketiga-tiga kesalahan ini ialah RM300. Jadi kita memberikan satu kadar kompaun khas bermula esok, 3 Januari, untuk selama enam bulan bagi memudahkan penyelesaian saman ini,” katanya.
Beliau turut menambah, sebanyak dua juta saman AwAS masih tertunggak. Mereka yang tidak melunaskan saman tersebut tidak akan dapat memperbaharui lesen memandu atau lesen kenderaan motor mereka.
Pembayaran kompaun khas ini boleh dilakukan melalui pelbagai saluran seperti kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ, dan aplikasi myJPJ. Namun, pembayaran tidak boleh dilakukan melalui MyEG atau Pos Malaysia.
Dalam pada itu, Anthony memaklumkan bahawa pengumpulan mata demerit akan dihentikan buat sementara waktu bermula esok hingga 30 Jun depan untuk memberi ruang kepada kajian semula terhadap kaedah pelaksanaan Sistem Mata Demerit oleh Bahagian Penguat Kuasa JPJ.
Sumber: Bernama








