Beli unit stor RM2,350, lelaki temui wang tunai RM35 juta di dalam peti besi | The Reporter

Beli unit stor RM2,350, lelaki temui wang tunai RM35 juta di dalam peti besi

Wang tunai RM35 juta dalam peti besi
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki di Amerika Syarikat tidak menyangka pembelian unit stor terbiar bernilai $500 (RM2,350) melalui lelongan membawa tuah besar apabila menemui wang tunai sebanyak $7.5 juta (RM35 juta) tersembunyi di dalam peti besi.

Kejadian itu dikongsi oleh Dan Dotson, seorang pelelong dalam rancangan terkenal Storage Wars yang memfokuskan jualan unit stor yang tidak dibayar selama tiga bulan. Unit stor tersebut dilelong tanpa mengetahui isi kandungannya.

Dalam episod-episod sebelumnya, pembeli pernah menemui barangan bernilai seperti kereta klasik dan koleksi unik, namun kali ini ia lebih luar biasa.

Peti besi dengan wang tunai jutaan ringgit

Dotson berkongsi kisah itu melalui saluran YouTube bersama isterinya, Laura Dotson. Katanya, seorang wanita Asia yang lebih berusia memberitahunya mengenai perkara itu.

“Dia mendekati saya dan memaklumkan bahawa suaminya bekerja dengan seorang lelaki yang membeli unit stor daripada saya dengan harga $500. Di dalam unit itu, terdapat sebuah peti besi,” katanya.

Pembeli itu cuba membuka peti besi tersebut dengan bantuan beberapa individu, namun usaha awal gagal. Akhirnya, mereka berjaya membuka peti besi itu dan menemui wang tunai $7.5 juta (RM35 juta) di dalamnya.

Mungkin milik seseorang yang berpindah atau dipenjarakan

Menurut Laura, wang tunai sebanyak itu di dalam stor mungkin ditinggalkan oleh seseorang yang menghadapi masalah seperti kad kredit yang tidak dapat dilunaskan, berpindah ke tempat lain, atau mungkin terlibat dengan undang-undang.

Dotson menyifatkan penemuan itu sebagai kejadian luar biasa dan jarang berlaku dalam lelongan unit stor. – Agensi

Related Posts