Bekas perisik dakwa serangan balas Iran ke Pangkalan AS di Qatar telah dirancang & diketahui Trump? | The Reporter

Bekas perisik dakwa serangan balas Iran ke Pangkalan AS di Qatar telah dirancang & diketahui Trump?

Bekas Presiden AS menaiki pesawat pada waktu malam
Trump menaiki pesawat di tengah dakwaan terlibat dalam koordinasi serangan balas Iran | Kredit gambar: Kevin Lamarque / Reuters

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Bekas pegawai IDF dakwa serangan Iran ke atas AS di Qatar telah dirancang awal dan diketahui oleh Trump
• Qatar didakwa sudah sedia dengan kenyataan media sebelum serangan berlaku
• Serangan disifatkan simbolik tanpa niat mencederakan atau melanjutkan konflik

Seorang bekas pegawai risikan Tentera Pertahanan Israel (IDF), Barak Ravid, mengejutkan ramai apabila mendakwa serangan balas Iran terhadap pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar sebenarnya telah dirancang bersama Qatar dan dimaklumkan lebih awal kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Dalam satu temubual bersama CNN, Ravid memaklumkan serangan peluru berpandu Iran itu bukan tindakan spontan, sebaliknya satu ‘aksi terancang’ yang sudah disusun bagi membolehkan Iran bertindak balas tanpa memburukkan lagi konflik.

Serangan ‘simbolik’ yang telah dirancang awal?

“Iran menyelaraskan serangan ini dengan Qatar dan dengan pengetahuan pentadbiran Trump,” kata Ravid, memetik seorang sumber yang mempunyai akses terus kepada pelancaran peluru berpandu berkenaan.

Tambahnya, serangan itu tidak bertujuan untuk mencederakan sesiapa.

“Saya rasa… bukti yang jelas ialah semua kenyataan media sudah disediakan awal. Qatar hanya lima minit selepas roket mula dilancarkan, terus keluarkan kenyataan setebal 500 patah perkataan yang jelas memang telah sedia untuk dihantar.

“Dan menurut sumber saya, tiada sesiapa yang terkejut dengan serangan ini. Ia kelihatan seperti usaha terancang satu pihak membenarkan Iran bertindak balas. Tetapi dalam masa sama cuba menghentikan krisis ini sebelum ia menjadi lebih besar.”

Hos program berita malam CNN, Anderson Cooper, yang ketika itu melaporkan dari Israel, menyifatkan dakwaan Ravid itu sebagai “sangat luar biasa.”

Ravid sekali lagi menegaskan: “Ia memang nampak seperti telah disusun. Kalau kita gabungkan semua petunjuk dengan maklumat langsung yang saya dapat, koordinasi antara Iran dan Qatar, serta kenyataan-kenyataan yang telah disiapkan awal. Semua ini menunjukkan cubaan untuk hentikan ketegangan di sini. Masing-masing jalankan peranan dan ini mungkin masa untuk mulakan rundingan diplomatik.”

Menurut laporan media, tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan tersebut kerana peluru berpandu berjaya dipintas oleh Qatar hasil daripada maklumat awal yang diterima.

Apa yang cuba disampaikan melalui serangan ini?

• Iran mungkin sengaja merancang serangan ‘selamat’ untuk menjaga maruah tanpa mencetuskan perang
• Qatar dan AS dipercayai sudah diberitahu lebih awal, membolehkan mereka bersedia
• Reaksi pantas Qatar menunjukkan serangan itu tidak mengejutkan mana-mana pihak

Related Posts