Seorang wanita ditahan selepas bayi perempuannya yang berusia setahun 10 bulan disyaki positif dadah jenis amphetamine and methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, wanita itu ditahan selepas mendapat laporan daripada pegawai perubatan di Hospital Taiping, semalam.
Bayi berkenaan dikatakan dihantar ke rumah neneknya oleh ibu mangsa berusia 21 tahun kerana ingin membeli barang.
“Ketika mahu tidur, mangsa tiba-tiba menangis dan menunjukkan tingkah laku tidak terkawal menyebabkan ibu mangsa membawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Razman berkata, susulan itu, polis menahan ibu mangsa yang juga suri rumah dan ujian saringan awal air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Difahamkan bayi berkenaan kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di hospital.
Sumber: Buletin Utama