Bayi 15 bulan ditemui lemas dalam tali air, selepas tercampak dari motosikal - The Reporter

Bayi 15 bulan ditemui lemas dalam tali air, selepas tercampak dari motosikal

Seorang bayi berusia 15 bulan ditemukan lemas dalam tali air di Kampung Tok Belian, Pengkalan Petah, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.20 malam dan menghantar sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Siasatan awal mendapati, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun membawa lima lagi kanak-kanak menaiki motosikal roda tiga jenis Suzuki RC110S menuju ke rumah melalui jambatan Kampung Tok Belian.

Ketika tiba di kawasan tali air, motosikal tersebut dipercayai hilang kawalan, menyebabkan mangsa yang dipegang oleh abang kandungnya berusia lapan tahun tercampak ke dalam tali air.

Operasi mencari dan menyelamat segera dilancarkan dengan bantuan Pasukan Bomba Balai Bomba Bachok. Mangsa akhirnya ditemui pada jam 8.10 malam di dasar sungai pada kedalaman empat meter dari lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk bedah siasat. Pegawai perubatan mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas.

Mohamad Ismail turut memaklumkan bahawa semakan mendapati cukai jalan dan insurans motosikal tersebut telah tamat tempoh.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!