Sebuah kafe kecil di Jakarta Selatan, Kopi Kamu, menjadi perhatian ramai di TikTok selepas tular video memaparkan barista istimewanya yang merupakan individu dengan sindrom Down.
Kafe itu bukan sahaja menyajikan kopi berkualiti, tetapi turut mengundang senyuman dan air mata pelanggan menerusi layanan mesra serta kasih sayang tulus daripada para pekerjanya.
Beberapa pengguna TikTok berkongsi video interaksi mereka di kafe berkenaan, memaparkan semangat dan keikhlasan barista dalam menyediakan minuman, lengkap dengan senyuman yang menceriakan suasana.
Ruangan komen turut dibanjiri doa dan pujian terhadap pemilik kafe, Rocky J. Pesik, yang membuka peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), khususnya mereka dengan sindrom Down.
“Semoga ini jadi jalan pintas tuan kedai ke syurga,” tulis seorang pengguna TikTok, mewakili perasaan ramai yang tersentuh dengan usaha murni ini.
Sejak dibuka hujung tahun lalu, Kopi Kamu telah menggaji tujuh pekerja dengan sindrom Down dan menyediakan latihan serta sokongan agar mereka mampu berdikari.
Kini, kafe tersebut bukan sahaja dikunjungi pelanggan setia, malah menarik perhatian pengikut media sosial yang ingin merasai sendiri suasana inklusif dan keramahan baristanya.
Inisiatif ini bukan sekadar membuka peluang kerja, tetapi juga membuka mata masyarakat tentang kuasa kasih sayang, kepercayaan dan peluang dalam membina masa depan golongan istimewa.








