Seorang lelaki di Uttar Pradesh, Kanpur telah ditahan kerana membunuh anaknya selepas berlaku pertengkaran, gara-gara anaknya mematikan TV semasa siaran langsung final Piala Dunia Kriket di antara India dan Australia, di rumah mereka.
Difahamkan kejadian itu berlaku pada Ahad lalu apabila mangsa, Deepak Nishad, terdahulu meminta bapanya, Ganesh Prasad, untuk menyediakan makan malam, sebelum menonton perlawanan tersebut.
Malangnya, Ganesh yang sedang asyik menonton perlawanan itu di TV, langsung tidak mengendahkan permintaan mangsa.
Berang dengan tindakan bapanya, Deepak terus mematikan TV, yang mengakibatkan pertengkaran antara mereka berdua. Pertengkaran itu kemudian bertukar menjadi pergaduhan fizikal.
Ganesh yang hilang kawalan nekad mencekik anaknya dengan wayar kabel elektrik. Dia kemudian melarikan diri dari tempat kejadian selepas melakukan jenayah itu, namun berjaya ditangkap polis.
Pegawai Polis Bantuan Komisioner (ACP) Brij Narayan Singh, yang bertanggungjawab di balai polis Chakeri, berkata bahawa Deepak dan Ganesh sebelum ini juga kerap bertengkar berhubung tabiat Deepak yang suka minum arak.
Pegawai polis itu berkata, motif kejadian adalah kerana pertikaian tentang menonton perlawanan kriket.
Suspek telah ditahan reman, manakala mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.
Sumber: India Today