Bapa enggan hantar ke hospital, murid Tahun 6 maut 8 jam selepas kemalangan motosikal | The Reporter

Bapa enggan hantar ke hospital, murid Tahun 6 maut 8 jam selepas kemalangan motosikal

Lokasi kemalangan melibatkan murid Tahun Enam di Kluang, Johor.
Gambar: X Mohd Redzuan Abdul Manap.

Seorang murid Tahun Enam meninggal dunia selepas lapan jam terbabit dalam kemalangan motosikal di Jalan Get, Paloh, Kluang pada Isnin.

Mangsa, Muhammad Harith Isyraf Yuzaini, 12, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 9 malam ketika sedang berehat di rumahnya di Johor Bahru akibat kecederaan di bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kematian murid Sekolah Kebangsaan Tiram Duku, Gelang Patah itu daripada bapanya petang Selasa.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal untuk ke kedai sewaktu berada di rumah bapa saudaranya di Jalan Tengah, Paloh bagi menziarahi kematian ahli keluarga.

Baca juga:

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar batu penghadang bahu jalan di sebelah kanan.

“Mangsa kemudian dibawa oleh bapanya ke sebuah klinik swasta di Kluang dan Gelang Patah untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjut, tetapi bapanya enggan menghantar ke hospital tersebut dan membawa pulang mangsa ke rumah,” katanya.

Tambah Bahrin, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Harian Metro, Polis Daerah Kluang

Related Posts