Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki berusia 41 tahun bekerja sebagai mekanik kapal membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam. Tertuduh mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan merogol, menghasilkan video lucah dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara sendiri.
Selain itu, tertuduh juga menghadapi pertuduhan memilik gambar dan video lucah.
Tertuduh yang mempunyai tiga anak lelaki itu didakwa merogol, membuat video lucah dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya berusia 7 tahun 9 bulan dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Rawa, Taman Perling, Johor Bahru pada 1 Ogos 2018.
Dia turut didakwa memiliki pelbagai video dan gambar lucah kanak-kanak di kediamannya di Taman Nusantara, Iskandar Puteri pada 24 Mei 2023.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh berikutan jenayah yang dilakukan itu adalah berat.
Namun keputusan itu bergantung kepada budi bicara mahkamah. Beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan. Berserta dengan tiga syarat tambahan iaitu, tidak mengganggu mangsa dan saksi, melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasportnya.
Peguam Baharudin Baharim yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah ikat jamin dikurangkan. Ini kerana anak guamannya mempunyai tanggungan isteri dan anak. Malah, permit kerja tertuduh juga telah dihentikan semenjak ditahan polis.
Hakim VM Mabel Sheela membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan berserta dengan syarat tambahan yang dimohon. Tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan pada 24 Julai ini.
Tertuduh juga akan menghadapi pertuduhan di beberapa negeri lain seperti Kuala Lumpur, Pahang dan Kedah, membabitkan mangsa yang sama.
Sumber: Bernama