Penduduk Kampung Sungai Miang dikejutkan dengan penemuan bangkai paus sepanjang lebih 11 meter yang terdampar di pantai kawasan itu petang semalam. Penemuan bangkai gergasi ini menarik perhatian ramai penduduk dan pengunjung pantai.
Paus tersebut dipercayai sudah mati beberapa hari lalu dan ditemui dalam keadaan berulat serta terdapat kesan giginya dipotong, menimbulkan tanda tanya mengenai punca kematiannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sungai Miang, Muhammad Karim, memaklumkan bangkai tersebut ditemui oleh seorang pemancing sekitar jam 4.45 petang. Paus itu dipercayai dibawa arus ketika air pasang besar sebelum terdampar di pantai apabila air surut. Pihaknya kemudian segera melaporkan penemuan tersebut kepada Jabatan Perikanan Pahang untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, pegawai perikanan telah mengambil sampel daripada bangkai paus berkenaan untuk dihantar ke makmal untuk kajian lanjut bagi mengenal pasti spesies paus serta lokasi asalnya, selain menyiasat punca kematiannya yang mencurigakan.
“Selesai ambil sampel, kami akan adakan gotong-royong bersama penduduk kampung untuk menanam bangkai paus itu kerana keadaannya sudah busuk dan berulat,” katanya.
Menurut Muhammad Karim, ini bukan kali pertama paus terdampar di kawasan tersebut, namun sebelum ini saiznya lebih kecil berbanding bangkai yang ditemui kali ini.
Sumber: Buletin TV3








