Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Arsenal mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA dengan penuh bergaya selepas menendang keluar juara bertahan, Real Madrid 2-1 di Santiago Bernabéu sekaligus melengkapkan kemenangan agregat 5-1 ke atas gergasi Sepanyol itu.
Selepas membawa bekalan selesa 3-0 dari perlawanan pertama di Emirates, skuad kendalian Mikel Arteta tampil dengan pendekatan berani di tempat lawan. Permainan kekal seimbang sepanjang babak pertama, namun Arsenal mula meningkatkan tekanan selepas rehat.
Bukayo Saka membuka tirai jaringan pada minit ke-65 selepas mengatasi Ferland Mendy dan melepaskan rembatan leret yang gagal diselamatkan Thibaut Courtois. Sebelum itu, Saka sempat mensia-siakan peluang awal menerusi sepakan penalti yang diselamatkan penjaga gol Real Madrid itu.
- Mikhael luah rasa syukur ibu lafaz syahadah
- Model Rusia buat laporan polis, dirakam TikToker buat live berunsur lucah
- 45 pelajar cemerlang ditolak universiti Korea Selatan kerana rekod buli
- ‘Inspektor Sheila’ disiasat dakwa pertikai tindakan polis tahan warga Pakistan tiada lesen
- Kelantan dominasi sektor awam negara
Hanya dua minit kemudian, tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Vinícius Júnior yang menyambar bola hasil kesilapan William Saliba di kawasan sendiri. Gol itu menaikkan semangat Real Madrid seketika, namun mereka gagal memecahkan pertahanan kental Arsenal yang diketuai Gabriel Magalhães dan William Saliba.
Ketika permainan hampir tamat dan Real sedang asyik menyerang, Arsenal melancarkan serangan balas pantas yang disudahkan dengan tenang oleh Gabriel Martinelli pada masa kecederaan, sekaligus menamatkan terus sisa-sisa harapan Los Blancos.
Mikel Arteta menyifatkan kemenangan ini sebagai momen yang membanggakan buat kelab dan penyokong. “Kami bermain dengan penuh keyakinan dan komitmen, dan ini adalah ganjaran untuk usaha keras semua pihak dalam pasukan,” katanya.
Arsenal akan bertemu Paris Saint-Germain di peringkat separuh akhir nanti, dan ramai yang mula melihat kelab London itu sebagai pencabar serius kejuaraan Eropah musim ini.
Sumber: SkySports








