Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pemain bola sepak Indonesia, Muhammad Hilmi Gimnastiar, dipecat oleh PS Putra Jaya Pasuruan selepas terlibat dalam insiden terjahan kasar yang mencetuskan kecaman ramai pihak.
Insiden berkenaan berlaku dalam perlawanan pusingan 32 terbaik Liga 4 Zon Jawa Timur di Gelora Bangkalan, Madura pada Isnin lalu, apabila Hilmi bertindak menendang bahagian dada pemain Perseta 1970 Tulungagung, Firman Nugraha. Akibat tindakan tersebut, Firman rebah di atas padang sebelum ditandu keluar untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Keadaan mangsa kemudiannya disahkan lebih serius apabila Firman dilaporkan masih menjalani rawatan rapi di Hospital Daerah Bangkalan. Berdasarkan maklumat awal pasukan perubatan, terdapat petunjuk keretakan pada bahagian dada, namun perincian lanjut masih menunggu pengesahan rasmi pihak hospital.
Baca juga:
- Pemain bola sepak Indonesia dipecat, susulan insiden terajang lawan
- FAM dikenakan hukuman FIFA, tiga perlawanan diisytihar kalah
- Yusuf Azmi mohon maaf, akui gimik tersasar babit peserta bawah umur
Pengurusan PS Putra Jaya Pasuruan menegaskan bahawa perbuatan berkenaan tidak boleh diterima kerana melanggar prinsip permainan adil dan semangat kesukanan, selain mencemarkan nama kelab. Keputusan untuk memecat pemain terbabit dibuat selepas menilai tahap keseriusan insiden tersebut.
Dalam kenyataan rasmi, pihak pengurusan turut memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan, khususnya kepada pasukan Perseta 1970 Tulungagung atas tindakan tidak wajar pemain mereka.
Selain pemecatan oleh kelab, Hilmi turut berdepan kemungkinan dikenakan hukuman lebih berat oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI). Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PSSI, Umar Husin, menegaskan tindakan tegas wajar diambil bagi melindungi keselamatan pemain serta integriti sukan, termasuk mempertimbangkan larangan seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Sumber: Detik Sport









