Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Arab Saudi telah mengumumkan penemuan emas di kawasan sepanjang 100 kilometer ke selatan lombong Mansourah Massarah, kawasan pentadbiran Al Khurmah di wilayah Mekah.
Syarikat Perlombongan Arab Saudi, atau lebih dikenali sebagai Maaden, telah menemui berbilang kawasan yang kaya dengan emas, menunjukkan potensi untuk mengembangkan perlombongan logam berharga itu di Al Khurmah.
Penemuan ini adalah yang pertama di bawah program penerokaan meluas yang dilancarkan pada 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Maaden, Robert Wilt, berkata penemuan ini berpotensi untuk menjadi pusat penemuan emas dunia dan merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikat tersebut.
“Penemuan ini menjadi bukti potensi sumber mineral yang belum diterokai di Arab Saudi dan menjadikan perlombongan sebagai tonggak ketiga ekonomi Saudi,” katanya.
Sungai Furat semakin mengering?
Berita ini telah menarik perhatian ramai kerana ada yang mengaitkannya dengan petanda-petanda hari kiamat dalam Islam.
Menurut ajaran Islam, terdapat petanda-petanda besar dan kecil yang menandakan kedatangan hari kiamat. Salah satu petanda besar yang sering dikaitkan dengan penemuan emas adalah Sungai Furat yang akan mengering dan menampakkan gunung emas.
Pada masa ini, Sungai Furat dilaporkan semakin mengering disebabkan perubahan iklim dan penurunan paras air yang drastik.
Perbanyakkan amal ibadah
Sungai ini banyak memberi gambaran tentang Hari Kiamat dan ia berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak terjadi Hari Kiamat itu sehingga Sungai Furat menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata ‘mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu.” (Hadis Riwayat Muslim, No 5152)
Hadis ini jelas memberi gambaran bahawa perebutan bukit emas itu akan berlaku dan pertumpahan darah yang dahsyat akan terjadi kerana mahu merebut kekayaan berkenaan.
Rasulullah SAW dalam hadis di atas menjelaskan bahawa daripada 100 orang yang bertempur, 99 orang akan mati dan hanya seorang saja yang hidup.
Berita penemuan emas itu adalah peringatan kepada kita semua untuk sentiasa bersedia dan memperbanyakkan amal ibadah. Kita harus ingat bahawa dunia ini hanya sementara dan kita harus berusaha untuk kehidupan akhirat.
Sumber: Kosmo! Online, Harian Metro