Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu berprofil tinggi yang terpalit rasuah. Sama ada menteri, ketua setiausaha (KSU), ketua pengarah (KP) atau pegawai yang sudah bersara, tindakan tetap akan dikenakan sekiranya ada bukti.
“Saya ingat kalau boleh, dalam dua tiga tahun, kita bersihkan kekacauan ini. Kalau bukan hari ini, esok. Kalau bukan esok, tahun depan. Anda pencen pun, kalau ada bukti, tetap kita cari,” katanya ketika berucap dalam Forum Ilmuwan Malaysia Madani (FIM) Siri 8 di Institut Integriti Malaysia (IIM), anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Cabaran buru rasuah besar
Menurut Anwar, kes melibatkan ‘jerung’ lebih sukar kerana mereka memiliki pengaruh besar dalam media, politik dan sumber kewangan. Namun beliau menegaskan usaha itu tetap diteruskan.
Baca juga:
- Menteri Agama puji Jep Sepahtu, sifatkan inspirasi kepada golongan asnaf
- MP Masjid Tanah cadang Hospital Putrajaya dinamakan sempena Tun Dr Hasmah
- Bajet 2027: Puad gesa tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian
“Keutamaan saya, SPRM buru jerung dahulu. Tetapi tidak bermakna ikan bilis boleh dibiarkan sehingga jadi terlalu besar,” katanya.
Anwar turut mempersoalkan sikap segelintir ahli Parlimen yang lebih selesa berdiam diri atau mempertahankan pelaku rasuah, meskipun bukti kekayaan berbilion ringgit terkumpul secara tidak sah sudah terdedah.
Hipokrasi dan wang rakyat
Perdana Menteri mengingatkan, pengalaman beliau dipenjara, dipukul dan diaibkan bukan isu besar. Sebaliknya, mencuri kekayaan negara dianggap satu bentuk hipokrasi yang tidak boleh diterima.
“Soal saya dipenjara atau diaibkan, itu saya boleh maafkan. Tetapi curi daripada negara berbilion ringgit, itu hipokrasi. Wang itu mesti dipulangkan kepada rakyat,” tegasnya.
Sumber: Bernama








