Anwar dikritik buli pelajar yang bertanya 'Bilakah sistem kuota akan dimansuhkan', tetapi ada netizen tampil pertahankan PMX | The Reporter

Anwar dikritik buli pelajar yang bertanya ‘Bilakah sistem kuota akan dimansuhkan’, tetapi ada netizen tampil pertahankan PMX

Media sosial hari ini heboh dengan video tular di mana sesi soal jawab di antara seorang pelajar perempuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengundang pelbagai reaksi netizen.

Ada netizen yang mendakwa Anwar membuli pelajar terbabit. Tidak kurang juga yang membidas dakwaan itu dengan menegaskan bahawa Anwar menjawab soalan sensitif itu dengan tepat dan jelas.

Dalam sesi dialog di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas, pelajar itu merupakan individu terakhir yang bertanyakan soalan kepada Anwar.

Mansuhkan sistem kuota, gantikan dengan sistem meritokrasi

Bilakah sistem kuota akan dimansuhkan dan digantikan dengan sistem meritokrasi? Saya dan kawan-kawan saya, serta kawan-kawan di luar yang tidak dikenali terkesan daripada sistem kuota ini hanya kerana mereka tidak memiliki status Bumiputera.

Kawan saya yang mendapat 7A 1B, tidak dapat memasuki Matrikulasi. Kawan saya yang mendapat 8A hanya dapat masuk Matrikulasi pada pengambilan yang kedua selepas membuat rayuan.

Sedangkan ada pelajar dengan hanya mempunyai sedikit A, dengan B dan C boleh memasuki Matrikulasi pada pengambilan pertama. Mereka tidak perlu merayu,” katanya.

Bagaimanapun Anwar menjelaskan, soalan sedemikian telah dijawab olehnya dalam sesi dialog sebelum ini.

Pemansuhan sistem kuota akan beri kesan buruk kepada majoriti rakyat

Menurut Anwar, beliau boleh mengambil keputusan popular semata-mata untuk memuaskan hati segelintir pihak. Tetapi keputusan itu akan mendatangkan kesan yang buruk.

Kesan daripada pemansuhan sistem kuota juga akan menyebabkan ketidakadilan kepada majoriti rakyat di negara ini khususnya Bumiputera.

Janganlah nak batalkan sistem kuota kerana ia akan menimbulkan kekacauan dalam negara. Kalau ada anak India atau anak Cina yang berasakan mereka tidak dilayan dengan adil (disebabkan sistem kuota), boleh buat rayuan dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memberi pertimbangan.

“Kita perlu lakukan (perubahan) secara berperingkat, tidak boleh buat secara gopoh. Anak-anak India, anak-anak Cina semua anak saya. Awak paksa kami ubah sekarangg untuk memuaskan hati sesetengah pihak, kami akan tewas dalam pilihan raya. Dan awak akan dapat PAS dan Bersatu mentadbir negara ini,” katanya.

Bagi Anwar, mereka yang mempersoalkan tentang sistem kuota harus belajar mengenai sejarah negara ini dan memahami mengapa ia penting bagi menjamin keadilan untuk kaum Bumiputera tanpa meminggirkan nasib kaum lain.

Dalam masa sama, beliau dan rakan-rakan Kabinet akan sentiasa mencari jalan yang terbaik untuk melakukan perubahan dalam sistem pendidikan negara bagi menjamin keadilan untuk semua pihak.

Netizen dakwa Anwar buli pelajar berkenaan

Bagaimanapun di media sosial, ada netizen mendakwa Anwar membuli pelajar berkenaan dan beranggapan caranya menjawab soalan pelajar itu agak agresif dan keterlaluan.

“Adakah PM tidak dapat membezakan antara musuh politik dan pelajar muda? Kerana itulah satu-satu penjelasan untuk buli yang menjijikkan ini. Tingkah laku sampah,” tulis Tashny Sukumaran.

“Setiap kali orang dewasa bercakap dengan seorang kanak-kanak dengan cara merendahkannya, ia akan melemahkan keyakinan dan memalukan mereka. Saya benar-benar hilang rasa hormat,” tulis Mediha.

“Aku tak pernah dengar Tun cakap marah-marah. Tun jenis orang yang ‘cool’,” tulis Hamirudin.

Netizen bidas dakwaan buli, tegaskan Anwar mahu lindungi pelajar itu daripada menerima persepsi negatif

Walaubagaimanapun ada netizen tidak bersetuju dengan dakwaan kononnya Anwar membuli pelajar berkenaan. Sebaliknya, Anwar menjawab soalan itu dengan tepat dan tidak membuli pelajar tersebut.

“Dia bertegas atas perkara yang sensitif. Dia ajar cara yang lebih baik untuk bertanya supaya soalan kita tidak menjadi suatu isu sensitif yang boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Bagi saya, cara beliau menjawab, sangat baik,” tulis Tyra Yusoff.

Soalan pelajar itu sensitif. Mention Melayu 1A, 2A dapat masuk. Ini akan dapat backlash pada dia dari kawan Melayu dia nanti. So, PMX potong siap-siap. Tengok full video, nothing wrong pun sebab memang isu sensitif,” tulis Ariff.

PMX tak nak pelajar itu teruskan soalan sebab dia kesian pada pelajar itu. Sedar atau tak, nanti orang akan marah pada pelajar itu kerana soalannya. So sebab itu dia potong supaya soalan itu tidak menjadi lebih parah. Niat budak itu betul, tetapi persepsi orang lain tidak,” tulis Afandi.

“Apabila PM layan pelajar sebagai orang dewasa, saya rasa ia bagus untuk negara kita. Ia menunjukkan PM mengambil serius dengan soalan yang diajukan oleh pelajar dan pelajar sudah cukup matang untuk menerima jawapan seperti itu,” tulis Abdullah.

Saya dah dengar jawapan penuh daripada PMX dan saya puas hati. Pelajar itu bukan budak-budak lagi. Budak-budak tiada keberanian dan pengetahuan seperti itu. Ini adalah sesi dialog akademi orang dewasa,” tulis Akem.

Sumber: Malaysia Now, Astro Awani, MalaysiaKini

Related Posts