Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Penerangan UMNO Rembau, Shukri Shamsuddin akan dipanggil polis bagi membantu melengkapkan siasatan terhadap dua kes berasingan berkaitan kenyataan yang dibuat oleh kedua-dua individu berkenaan.
Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya telah menerima dua laporan polis berhubung kenyataan Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS. Siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, beberapa saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan. Beliau berkata tindakan lanjut akan diambil dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan proses siasatan.
Sebelum ini, Sanusi dilaporkan menyentuh isu kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu ketika berucap pada ceramah perdana BN-PN di Jempol. Beliau mendakwa pengaruh politik serta penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis dan berdepan risiko kehilangan dalam tempoh 10 tahun sekiranya tiada perubahan besar dilakukan.
Baca juga:
- ‘Dulu ada GST…’ – Ahmad Maslan jawab isu laluan motosikal gelap
- Sanusi, Ketua Penerangan UMNO Rembau dipanggil polis bantu siasatan
- ‘Takdak kedai Siam susah kami nak makan’ – Kieda Crepe
Dalam perkembangan sama, polis turut menjalankan siasatan terhadap Shukri selepas menerima 11 laporan polis sehingga 27 Julai berhubung kenyataan yang disiarkan menerusi media sosial yang didakwa mengaitkan institusi istana dengan parti politik.
Alzafny berkata, siasatan terhadap Shukri dibuka mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Sebelum ini, tular sebuah video yang mendakwa Istana Negeri Sembilan ‘dipegang’ oleh parti DAP, namun pihak istana menafikan dakwaan berkenaan.
Istana Negeri Sembilan dalam kenyataannya menegaskan bahawa sebarang cubaan mengaitkan institusi diraja dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar.









