Seorang pekerja pemasangan jubin berusia 45 tahun telah direman selama tujuh hari atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua anak kandungnya sejak awal tahun.
Majistret Suhaila Shafi’uddin, Mahkamah Majistret Batu Pahat, telah mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap suspek sehingga 4 September bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Menurut laporan Harian Metro, suspek didakwa merogol anak perempuannya yang berusia 14 tahun di rumah mereka sejak Januari lalu. Namun, perbuatan terkutuk ini tidak diketahui oleh ahli keluarga, termasuk isteri suspek sehingga kejadian terbongkar pada 2.30 petang semalam.
Seorang lagi anak suspek, yang juga merupakan adik kepada mangsa, menyaksikan perbuatan bapanya melalui tingkap ketika kejadian terkutuk itu berlaku. Pada ketika kejadian, ibu mangsa tidak berada di rumah.
Mangsa kemudiannya menceritakan perbuatan suspek kepada ibunya yang baru pulang ke rumah, lalu pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada pukul 10 malam pada hari yang sama, untuk membuat laporan.
Bertindak di atas maklumat, polis terus menahan suspek, manakala mangsa pula dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Selain itu, adik bongsu mangsa turut memberitahu dia juga pernah menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh bapa mereka.








