Anak kecil bising dalam feri, pasangan luah rasa tidak selesa | The Reporter

Anak kecil bising dalam feri, pasangan luah rasa tidak selesa

Kanak kanak mengamuk dalam feri, cetuskan gangguan
Pasangan tidak selesa budak menangis dalam feri, cetus perdebatan di ruangan komen

Sebuah video TikTok yang dimuat naik oleh pengguna @aeryllfamee mencetuskan perdebatan hangat di kalangan netizen apabila dia berkongsi pengalamannya menaiki feri dari Langkawi ke Kuala Kedah.  

Dalam video tersebut kedengaran seorang kanak-kanak yang menangis dan mengamuk hampir sejam tanpa henti.

Menurut kapsyen yang disertakan, pengguna tersebut dalam perjalanan pulang ke Kelantan bersama isterinya yang sedang demam dan mengalami muntah berterusan akibat migrain. 

Dalam keadaan serba tidak kena itu, suasana bertambah tegang apabila seorang kanak-kanak dikatakan menjerit dan menangis tanpa henti dalam feri yang sesak dengan penumpang.

“Kalau bayi kita faham, tapi budak ni dah besar. Siap boleh cakap apa dia nak,” tulisnya. 

Beliau turut mempersoalkan pendekatan ibu bapa budak tersebut yang hanya memujuk tanpa sebarang tindakan tegas meskipun gangguan itu berlarutan melebihi sejam.

Netizen tidak bersetuju

Rata-rata komen menyelar tindakan pemilik video dengan mengatakan bahawa dia tidak memahami betapa sukarnya mengendalikan anak kecil, lebih-lebih lagi dalam ruang awam yang terhad seperti feri.

Ada juga netizen yang menyokong pendiriannya, mengatakan bahawa ibu bapa masa kini terlalu ‘berlembut’ dan kerap menggunakan alasan “biasalah budak-budak” untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab mendidik anak agar menghormati orang sekeliling.

“Anak aku pun pernah tantrum, tapi sebagai ibu bapa kena usaha juga untuk kawal. Bukan biar je. Kita bukan sorang dalam dunia ni,” komen seorang pengguna TikTok yang turut berkongsi tips membawa alat mainan dan snek sebagai ‘distraksi’ buat anaknya ketika perjalanan jauh.

Dalam pada itu, pemilik video turut menjelaskan bahawa tujuannya bukan untuk menjatuhkan sesiapa, sebaliknya sekadar memberi kesedaran agar ibu bapa lebih peka dan bertanggungjawab ketika berada di tempat awam. 

Dia turut mengajak orang ramai berkongsi solusi yang mereka gunakan untuk menenangkan anak-anak dalam situasi sukar.

Perkongsian ini membuka ruang perbincangan yang lebih besar mengenai adab dan tanggungjawab sosial di tempat awam, terutama dalam suasana tertutup seperti kapal terbang, bas, atau feri. 

Meskipun sesetengah ibu bapa mungkin berasa tersinggung, isu ini memberi peluang untuk semua pihak menilai semula pendekatan masing-masing dalam mendidik anak agar lebih prihatin terhadap orang lain.

Related Posts