KOTA MAKASSAR, INDONESIA – Seorang wanita tergamak menyerang ibu kandungnya menggunakan parang sehingga mengalami kecederaan parah. Tindakan wanita itu sempat dirakam jirannya yang kemudian ditularkan di media sosial.
Lapor media tempatan, kejadian itu berlaku pada Selasa, 24 September lalu di halaman rumah mangsa
Suspek, Sarniaty, 39, bertindak mengunci pagar agar tiada sesiapa ang dapat masuk dan menghalangnya menyerang ibu kandungnya, Siti Syamsiah, 64.
Dia kemudian mengambil parang dan menetak mangsa beberapa kali. Walaupun mangsa sudah terbaring di lantai, Sarniaty berterusan menghayun senjata tajam itu pada ibunya yang sudah tidak berdaya tanpa sebarang rasa belas kasihan.
Jiran-jiran yang menyaksikan kejadian itu menjerit meminta Sarniaty berhenti dari berbuat demikian. Malangnya jeritan itu tidak diendahkan, malah tidak kisah perbuatannya itu disaksikan oleh orang ramai.
Kasihan melihat keadaan mangsa, beberapa lelaki bertindak memanjat pagar untuk menyelamatkan mangsa dan dibawa ke hospital berdekatan.
Tidak beberapa lama kemudian, polis tiba di lokasi dan suspek terus ditahan untuk membantu siasatan. Polis turut merampas sebilah parang yang digunakan suspek dalam kejadian itu.
Menurut Siti, dia sebelum itu menegur anak perempuannya itu untuk mengemas rumah. Namun, suspek yang mengalami gangguan jiwa itu tidak dapat menerima teguran dan bertindak mengambil parang untuk menetak ibunya. – Agensi








