Amirudin arah tindakan segera penempatan haram warga asing di Setia Alam | The Reporter

Amirudin arah tindakan segera penempatan haram warga asing di Setia Alam

Video tular memaparkan kawasan penempatan haram warga asing di Kampung Budiman, Setia Alam.
Tangkap layar video tular memaparkan kawasan penempatan haram warga asing di Kampung Budiman, Setia Alam.

Kerajaan Selangor mengarahkan tindakan segera diambil terhadap kewujudan penempatan haram warga asing di Kampung Budiman, Setia Alam yang didakwa telah wujud sejak sekian lama.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu diputuskan selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan (MTKN) Negeri Selangor baru-baru ini yang bersetuju supaya tindakan penguatkuasaan berkaitan pencerobohan tanah dilaksanakan.

Memetik laporan Sinar Harian, Amirudin berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memulakan tindakan termasuk mengeluarkan notis kepada pemilik tanah yang terlibat bagi memastikan isu berkenaan ditangani.

Amirudin menjelaskan tindakan penguatkuasaan bergantung kepada status tanah berkenaan. Jika melibatkan tanah kerajaan, tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa, manakala pemilik tanah persendirian perlu bertanggungjawab menangani pencerobohan di kawasan masing-masing.

Isu berkenaan kembali mendapat perhatian selepas laporan sebelum ini mendedahkan kewujudan ratusan penempatan haram di kawasan pinggir Shah Alam yang dipercayai menempatkan ribuan warga asing.

Baca juga:

Berdasarkan laporan tersebut juga, terdapat binaan tidak sah yang didirikan di kawasan ladang kelapa sawit di sekitar Persiaran Setia Makmur, Setia Alam serta Jalan Hamzah, Kampung Budiman, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penguatkuasaan sebelum ini.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum ini memaklumkan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kewujudan perkampungan haram warga asing di kawasan tersebut walaupun operasi penguatkuasaan telah dijalankan pada awal April.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan akan dilakukan sekiranya hasil siasatan mendapati dakwaan itu mempunyai asas.

Related Posts