Sekurang-kurangnya 13 orang maut selepas gempa bumi kuat melanda Kumamoto di Pulau Kyushu, Jepun, sementara usaha menyelamat dipergiat bagi mencari mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan.
Menurut laporan AP, Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi memaklumkan angka kematian meningkat selepas gegaran kuat berukuran 7.1 magnitud melanda wilayah berkenaan pada Selasa.
Gempa itu turut menyebabkan kerosakan besar termasuk runtuhan sebahagian bangunan, gangguan bekalan elektrik serta kemusnahan infrastruktur di beberapa kawasan terjejas.
Antara lokasi paling teruk terjejas ialah sebuah pusat beli-belah di Kashima, Kumamoto, apabila sebahagian struktur bangunan itu runtuh selepas berlaku letupan yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas susulan gempa.
Baca juga:
- Trump arah penggunaan istilah ‘Super Intelligence’ ganti AI dalam kerajaan AS
- Buat aksi jet ski di jalan banjir Bangkok, lelaki didakwa cetus gangguan awam
- Ireland benam Israel 3-0, enggan berjabat tangan sebelum aksi
Laporan awal menyebut beberapa mangsa terperangkap di pusat beli-belah berkenaan, manakala pihak berkuasa menjalankan operasi menyelamat untuk mencari individu yang masih belum ditemui.
Selain kejadian di pusat beli-belah itu, satu lagi kematian dilaporkan berlaku akibat runtuhan bangunan di kawasan berhampiran pusat gempa.
Pihak berkuasa Jepun turut menggesa penduduk supaya berwaspada terhadap gegaran susulan dan risiko tanah runtuh, sementara pasukan kecemasan terus menjalankan pemeriksaan serta operasi bantuan.








