Seorang ibu dikenali sebagai Ayu meluahkan kekesalannya di Facebook selepas anaknya yang baru berusia tujuh tahun cedera di bahagian sulit dan mengalami trauma serius akibat insiden buli di sekolah.
Menurut Ayu, kejadian berlaku pada 6 Mac 2025 apabila anaknya, NR, ditolak dari belakang oleh rakan dari kelas sebelah ketika berjalan menuju ke kelas selepas waktu rehat. Akibat tolakan yang kuat itu, NR jatuh tersembam hingga menyebabkan kecederaan pada zakarnya.
“Anak saya tak cerita pada cikgu. Bila saya ambil dia balik dari sekolah, baru dia cerita. Saya terkejut bila dia mengadu kemaluannya berdarah. Terus saya bawa pergi buat pemeriksaan,” katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut termasuk imbasan ultrasound mendapati, terdapat lebam dan bengkak pada kemaluan. Mangsa terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar selama lapan hari dan kemudiannya dirujuk ke pakar psikiatri akibat trauma.
Dalam salah satu kapsyen gambar, Ayu menceritakan yang anaknya mengalami kesakitan sepanjang tempoh rawatan. Malah, mereka terpaksa berulang-alik antara hospital di Kangar dan Alor Setar bagi mendapatkan rawatan susulan.
Walaupun telah dibenarkan keluar wad, keadaan NR masih memerlukan pemantauan doktor. Ayu turut mendedahkan anaknya hilang selera makan dan susut badan sepanjang tempoh rawatan.


Pasangan suami isteri itu kemudian mengambil keputusan untuk membuat laporan polis, selepas ibu bapa murid yang terlibat didakwa tidak mengambil sebarang tindakan.
Dalam pada itu, Ayu memaklumkan permohonan pertukaran sekolah anaknya juga telah diluluskan dan dia berharap persekitaran baharu itu memberi rasa yang lebih selamat dan tenang untuk NR.
Difahamkan, kes itu kini dalam siasatan pihak polis.








