'Anak beritahu cikgu gigit bibir & tarik panjang-panjang' - Ibu dedah anak trauma dianiaya cikgu lelaki | The Reporter

‘Anak beritahu cikgu gigit bibir & tarik panjang-panjang’ – Ibu dedah anak trauma dianiaya cikgu lelaki

Seorang wanita mendedahkan seorang guru sekolah telah melakukan satu perkara yang tidak senonoh ke atas anaknya sehingga menyebabkan emosi anaknya terganggu. Pada mulanya dia menyangka anaknya dibuli oleh rakan sekolah. Tetapi, tekaannya salah.

“Saya sebagai ibu boleh rasa macam ada sesuatu tak kena dengan anak saya. Dia selalu tanya bila lagi cuti sekolah.

“Setiap kali itulah saya mula perasan dia macam tak gembira dan selalu muram, masam bila pergi dan balik sekolah.

“Saya terus tanyakan dia. Rupa-rupanya dia beritahu cikgu yang mengajarnya selalu menggigit bibir dan tarik panjang-panjang hingga sakit.

“Kadang-kadang katanya gigit hidung. Dia juga mengadu tak selesa dan geli dengan keadaan cikgu itu yang giginya kuning dan mulut hitam,” tulisnya.

Mendengar penjelasan anaknya, wanita ini sangat terkejut dan terus bertanyakan pada abang dan kakaknya. Rupa-rupanya Cikgu Nor (cikgu lelaki) terkenal dengan sikapnya yang suka menggigit bibir murid-murid.

“Bertambah marah bila dapat tahu cikgu-cikgu lain tahu sikap cikgu tu tapi katanya cikgu lain hanya gelakkan saja,” katanya.

Tidak mahu berdiam diri, wanita ini telah berjumpa dengan Guru Besar sekolah dan berbincang mengenai perkara tersebut.

“Baru selesai jumpa GB sekolah dan setelah berbincang pihak sekolah tidak menyebelahi tertuduh dan pihak sekolah juga akan mengambil tindakan secara keras kepada tertuduh secara berperingkat selaras dengan prosedur,” tulisnya.

KPM akan segera jalankan siasatan

Susulan isu ini, Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan siasatan.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, KPM mengesan satu hantaran di media sosial berhubung insiden itu dan kini sedang mengambil tindakan selanjutnya.

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan kementerian memandang serius terhadap dakwaan berkenaan.

“Kita akan jalankan siasatan lanjut dan jika ada kes sebegitu (murid digigit guru) tindakan sewajarnya akan diambil.

“Dalam hal ini, KPM tidak pernah membenarkan ia berlaku dan sentiasa mengambil langkah pencegahan untuk memberi kesedaran kepada murid serta pelajar. KPM tidak sesekali berkompromi dalam isu seumpama ini,” katanya .

Sumber: Eyma Zaideen, Harian Metro

Related Posts