Tolak dengan berat hati demi keluarga
Pelawak dan selebriti media sosial, Amir Raja Lawak berkongsi beliau terpaksa menolak tawaran tajaan umrah yang sepatutnya berlangsung pada 3 Ogos ini disebabkan faktor keluarga yang tidak mengizinkan.
Dalam satu mesej balasan kepada pihak penaja yang dikongsi di Instagram, Amir menyatakan rasa syukur dan terharu dengan tawaran tersebut. Namun atas tanggungjawab terhadap keluarga, beliau tidak dapat meninggalkan kawasan dalam tempoh masa yang panjang.
“Saya sangat berbesar hati dengan tawaran yang pihak tuan berikan ini. Namun saya terpaksa tolak sebab situasi keluarga tak mengizinkan saya ke luar kawasan dengan jarak waktu lama sekarang ini,” tulisnya sambil memohon agar didoakan kesembuhan buat bapanya yang sedang sakit.
Baca juga:
- Tabung untuk Adrian Adam dihentikan, Pak Nil umum jumlah kutipan
- Anak Amyza Aznan, Adrian curi perhatian di pentas TTMM
- Bisnes merosot, Zul Yahya dedah anak isteri terpaksa bermalam di kedai
Perlukan ruang dan ketenangan
Dalam hantaran sama, Amir turut meluahkan kerinduan untuk ke tanah suci, tetapi keadaan semasa memaksanya untuk mengehadkan aktiviti termasuk kerja-kerja review dan siaran langsung (live).
“Teringin sangat nak ke sana, nak berdoa lama-lama, nak sujud lama-lama, nak mengadu pada Allah dekat tanah suci,” luahnya.
Beliau menjelaskan banyak undangan dan permintaan kerja yang terpaksa ditolak buat masa ini kerana ingin fokus kepada kesejahteraan diri dan keluarga. Amir turut menyatakan bahawa buat masa ini, beliau hanya menerima servis siaran langsung yang tidak mengganggu emosinya dan hanya melakukannya bersama rakan terdekat.
Beliau menutup hantaran dengan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi sokongan moral, serta berharap Allah membalas segala kebaikan itu.

Tuntut RM18K dari stesen TV
Terdahulu, Amir pernah mendedahkan beliau masih belum menerima bayaran sebanyak RM18,000 hasil kerja daripada stesen televisyen. Menurutnya, jumlah tersebut adalah haknya yang tertunggak sejak sekian lama dan amat diperlukan bagi menampung kos rawatan bapanya yang menghidap kanser usus.
Walaupun pernah menerima bayaran awal sebanyak RM5,000 pada tahun lalu, baki selebihnya masih belum dijelaskan. Amir turut menolak tawaran bayaran ansuran sebanyak RM3,000 dan menegaskan beliau hanya mahukan jumlah penuh kerana keperluan yang mendesak ketika ini.
Sumber: Instagram Amir Raja Lawak








