Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelawak Amir Raja Lawak tampil menuntut bayaran penuh sebanyak RM18,000 daripada syarikat produksi Owsem TV, selepas mendakwa mereka masih belum melangsaikan tunggakan walaupun telah dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan bapanya yang kritikal akibat kanser usus.
Dalam hantaran tegas di Facebook sejam lalu, Amir meluahkan rasa kecewa apabila pihak produksi berkenaan didakwa tidak memberi respon positif, walaupun dia sudah menghantar mesej dan maklumat mengenai keadaan bapanya sejak awal lagi.
“Bapa saya kena kanser usus! Saya nak RM18,000 solid tanpa diskaun, tanpa bayar ansur-ansur. Ini soal hidup dan mati bapa saya dan ini soal usaha dan ikhtiar kami sekeluarga buat abah.
“Saya tak minta duit kamu, saya tak minta pinjam duit, yang saya minta adalah DUIT SAYA! HAK SAYA!” katanya.
Baca juga:
- Amira Othman umum hamil 30 minggu
- Isu gelaran juara, Zaha Spring pertahan kenyataan Ameng
- Dari gurauan jadi kenyataan, lelaki sahut cabaran TokTi joging 8KM
Kenapa tolak tawaran RM3,000?
Amir turut mendedahkan pihak produksi ada menawarkan RM3,000 minggu lalu selepas isu ini mula diperkatakan netizen. Namun dia menolak tawaran itu kerana berdasarkan pengalaman lalu, pembayaran ansuran tidak pernah diselesaikan sepenuhnya.
“Sebelum ini mereka pernah bagi RM5,000 awal tahun lalu, kemudian setahun lebih hingga sekarang ini masih belum mendapat apa-apa bayaran tambahan lagi.
“Jadi kenapa saya perlu ambil RM3,000? Sudah tentu saya nak solid RM18,000 sekarang sebab saya hal kecemasan!”
Dia juga berkongsi gambar dirinya sedang menolak bapanya yang duduk di atas kerusi roda di hospital sebagai bukti bapanya ditimpa masalah kesihatan.
Amir menegaskan, dia bukan meminta simpati atau derma, sebaliknya hanya mahu pihak produksi melunaskan bayaran hasil kerjanya yang tertunggak sejak sekian lama.
“Tak perlu saya jelaskan macam mana keadaan abah saya atau apa yang kami sekeluarga tengah hadap. Mereka boleh tahu keadaan pesakit kanser usus ni macam mana,” ujarnya.
Sumber: Facebook Amir Raja Lawak








