Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pendakwah bebas, PU Syed, menegur secara terbuka tindakan pempengaruh tempatan, Ameera Khan, dan pasangannya, pelakon Indonesia Jefri Nichol, yang didakwa terlalu mesra di khalayak ramai.
Menerusi satu hantaran di media sosialnya, PU Syed atau nama sebenarnya Syed Bakri Benyahya turut berkongsi klip video yang menunjukkan pasangan tersebut berkelakuan mesra, dan menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan mereka.
“Sepatutnya letak tajuk ‘Pasangan Ini Semakin Selesa Tayang Dosa!’ Teguran buat Ameera Khan dan Jefri Nichol. Kalian berdua ni beragama Islam, kan? Tak gerunkah kalian pada Allah?” soal beliau.
PU Syed turut mempersoalkan sama ada pasangan berkenaan tidak memikirkan kesan perbuatan mereka terhadap maruah keluarga dan agama.
“Tiada didikan agama kah yang kalian terima sehingga tidak langsung merasa malu atas perbuatan yang dilakukan? Maruah ibu dan ayah serta keluarga kalian campakkan ke mana?” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Islam amat menitikberatkan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram.
“Adakah kerana alasan cinta, atau kerana kalian kononnya ‘public figure’, maka kalian rasa bebas melakukan apa sahaja yang ditegah agama?” katanya lagi.
PU Syed menzahirkan kebimbangan terhadap pengaruh golongan selebriti seperti ini terhadap masyarakat, terutamanya anak muda.
“Golongan seperti inilah yang amat merisaukan. Kalau dalam cerita Bidaah adanya watak walid yang gilakan wanita, bagaimana pula dengan kisah pasangan ini?
“Perbuatan-perbuatan ini boleh jadi halal jika kalian bernikah. Lepas itu nak buat apa pun silakan, selagi dibenarkan syarak. Tapi janganlah pergi ke sana sini tanpa sebarang ikatan yang sah.
“Cukup-cukuplah menabur dosa. Malulah kepada Allah,” tegasnya.








