Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan tiga tahap, iaitu Bahaya, Buruk dan Waspada, yang dijangka berlarutan sehingga 29 November 2024. Amaran tersebut dikeluarkan pada jam 1:00 tengah hari, 26 November 2024.
Tahap Bahaya melibatkan hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan di Terengganu, termasuk Hulu Terengganu, Marang, Dungun, dan Kemaman. Selain itu, kawasan di Pahang seperti Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan, dan Rompin turut terjejas.
Bagi Tahap Buruk, hujan lebat berterusan dijangka melanda kawasan di Kedah (Padang Terap, Sik, dan Baling), Perak (Hulu Perak), Kelantan, serta beberapa kawasan di Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, dan Kuala Terengganu). Kawasan di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Temerloh, dan Bera) serta Johor (Mersing) juga termasuk dalam amaran ini.
MetMalaysia turut mengeluarkan Tahap Waspada untuk beberapa negeri. Antara kawasan terlibat adalah Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim, dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, dan Kampar), serta Pahang (Raub dan Bentong). Kawasan di Johor termasuk Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi, dan Johor Bahru, manakala di Sabah, kawasan Sandakan (Telupid, Beluran, dan Sandakan) dan Kudat turut disenaraikan.
Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan akibat hujan lebat ini, terutama di kawasan yang berisiko tinggi berlaku banjir.








