Situasi tegang India-Pakistan, Amar dan Muqharabbin dinasihat ubah laluan ke Mekah | The Reporter

Situasi tegang India-Pakistan, Amar dan Muqharabbin dinasihat ubah laluan ke Mekah

Journey to Tanah Haram
Amar dan Datuk Muhammad Muqharabbin terpaksa mengubah laluan atas faktor keselamatan. Gambar: Instagram qobindq

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


“Allah sebaik-baik perancang.” Demikian hantaran pelakon Amar Baharin beberapa hari lalu, memaklumkan bahawa perjalanan mereka dalam misi kayuhan basikal ke Kembara Mekah terpaksa diubah laluan.

Amar dan pendaki pertama Gunung Everest dari Malaysia iaitu Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin akan memulakan misi mereka pada hari ini.

Dalam hantaran berkenaan, Amar memaklumkan penukaran laluan berkenaan atas faktor keselamatan.

“Kami telah dimaklumkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi bahawa situasi di India dan Pakistan pada masa ini tidak selamat untuk dilalui bagi misi #JourneyToTanahHaram.
Atas faktor keselamatan, misi ini perlu diubah laluan (“reroute”).

“Maklumat mengenai laluan terbaru akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, Pakistan mengumumkan penutupan ruang udaranya kepada semua syarikat penerbangan milik atau dikendalikan oleh India, manakala semua perdagangan dengan India termasuk perdagangan dengan negara ketiga yang melalui Pakistan turut digantung serta-merta.

Keadaan ini dilaporkan semakin tegang susulan isu perubahan perjanjian air antara kedua-dua negara.

Dalam hantaran di Instagram itu, Ammar turut berkongsikan, makluman rasmi dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

“Sehubungan itu, pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia menasihatkan agar semua penunggang basikal tidak memasuki India.

“Sebagai alternatif, mereka mencadangkan supaya misi ini dimulakan dari Malaysia ke Thailand, seterusnya mengambil penerbangan dari Thailand ke UAE untuk menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya,” katanya.

Ammar dan Muqharabbin bakal memulakan kayuhan sejauh 8,000 kilometer ke Mekah, bermula dari Arau, Perlis, sebelum meneruskan kayuhan merentasi beberapa buah negara lain sehingga tiba di Arab Saudi.

Related Posts