Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh hari ini memuat naik video dirinya mengemas barangan di pejabat Exco Kerajaan Negeri Melaka, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa keputusan meletakkan jawatan itu sudah muktamad.
Dalam kenyataan terkininya di media sosial, Ketua Pemuda UMNO itu menegaskan bahawa jawatan yang disandangnya adalah amanah rakyat, bukan milik peribadi dan tanggungjawab mempertahankan suara rakyat lebih utama daripada kepentingan diri atau kedudukan.
“Saya diangkat ke jawatan ini kerana rakyat. Maka menjadi kewajipan saya mempertahankan suara mereka,” katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada Seri Negeri dan meninggalkan mesej ringkas, “sampai kita bertemu lagi”.
Umum letak jawatan Exco Melaka
Rakaman beliau mengemas pejabat itu dibuat selepas Akmal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka. Video tersebut dimuat naik sendiri oleh Akmal, sekali gus mengesahkan beliau tidak lagi memegang peranan dalam pentadbiran negeri.
Langkah itu diambil walaupun beliau kekal aktif dalam arena politik dan terus memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Baca juga:
- ‘Nak pecat, pecat betul-betul’ – Wan Fayhsal
- ‘Faham dulu agama’ – Balachandran tegur Nga Kor Ming isu sujud syukur
- Siti Zailah cabar Nga masuk Islam, jadikan Balasubramaniam sebagai contoh
Konflik dan ketidakpuasan hati terhadap DAP
Peletakan jawatan itu berlaku susulan konflik serta ketidakpuasan hati Akmal terhadap DAP, yang sebelum ini menjadi sasaran kritikan terbukanya dalam beberapa isu melibatkan prinsip dan pendirian politik.
Ketegangan tersebut dipercayai menjadi faktor utama beliau memilih untuk berundur daripada jawatan Exco, berbanding terus berada dalam pentadbiran negeri.
Netizen puji pendirian, anggap berprinsip
Tindakan Akmal menerima reaksi meluas di media sosial, dengan ramai netizen memuji keberaniannya mendahulukan prinsip berbanding jawatan. Ada yang menyifatkan tindakannya sebagai contoh kepimpinan berintegriti, manakala sebahagian lagi melihatnya sebagai keputusan sukar tetapi berani.
Sebahagian penyokong turut berharap Akmal akan terus memainkan peranan penting dalam politik negara selepas ini.
Sumber: Facebook Akmal Saleh








