Ahmad Zahid kekal bebas dari 40 pertuduhan VLN, AGC tarik balik rayuan | The Reporter

Ahmad Zahid kekal bebas dari 40 pertuduhan VLN, AGC tarik balik rayuan

Ahmad Zahid Hamidi kekal bebas
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi

Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, daripada 40 pertuduhan rasuah berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Keputusan ini disahkan semasa prosiding di Mahkamah Rayuan, dengan AGC memaklumkan penerimaan representasi yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid. Panel tiga hakim, diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, menolak rayuan pihak pendakwaan.

AGC mendapati tiada bukti Ahmad Zahid menyalahgunakan kuasa, kerana kontrak-kontrak berkenaan dianugerahkan sebelum beliau menjadi Menteri Dalam Negeri. Proses pelanjutan kontrak pula didapati mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Ahmad Zahid meluahkan rasa syukur atas keputusan itu.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Allah yang mengizinkan rayuan ini ditarik balik. Terima kasih juga kepada pasukan peguam saya atas usaha mereka,” katanya.

Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Ahmad Zahid tanpa memerintahkannya membela diri. Pendakwaan sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Sementara itu, peguam Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, menyatakan rasa syukur dan berterima kasih atas keputusan tersebut, yang dianggap sebagai satu kejutan baik.

Sumber: Bernama, Harian Metro

Related Posts