Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim telah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama 10 hari bermula 18 Ogos lalu. Keputusan itu dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas insiden minggu sebelumnya yang dikaitkan dengan dakwaan beliau mencabar seorang Ahli Parlimen lain untuk bertumbuk di luar dewan.
Johari menjelaskan, tindakan itu diputuskan mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Fasal 42(2) setelah menilai rakaman kejadian yang berlaku ketika Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, membangkitkan isu berkaitan agama.
Awang pada ketika itu dilihat keluar dari dewan sambil menunjukkan isyarat penumbuk, sekali gus mencetuskan salah faham kononnya beliau mahu mengajak bertumbuk di luar Parlimen.
Baca juga:
- Rosol Wahid tidak akan buat rayuan penggantungan BERSATU
- Vijay angkat sumpah Ketua Menteri Tamil Nadu
- Dua ADUN dipecat, empat pemimpin Bersatu digantung keahlian
Awang nafi dakwaan ajak bertumbuk
Awang yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan PAS Pusat kemudiannya tampil memberi penjelasan. Katanya, beliau tidak pernah berniat mencabar Rayer, sebaliknya hanya memberi peringatan supaya wakil rakyat itu berhati-hati kerana kenyataannya boleh mengundang kemarahan pihak lain di luar Parlimen.
“Peristiwa yang kata saya ajak bertumbuk itu tidak betul. Gerakan itu memang dirakam tetapi tidak menjelaskan maksud saya yang sebenar.
“Saya hanya mahu mengingatkan Ahli Parlimen terbabit jangan sampai ditumbuk orang lain di luar Parlimen kerana menyentuh isu agama,” katanya.
Dalam masa sama, Awang mengakui kesediaannya menerima hukuman penggantungan, namun meluahkan rasa terkilan kerana tidak dipanggil untuk membela diri.
“Saya tidak dipanggil langsung untuk membela diri… kalau itu hukuman dibuat pemegang peraturan mesyuarat dan mereka kata saya bersalah, saya terima saja,” ujarnya.
Sumber: Berita Harian








