Ahli Parlimen Pasir Puteh perjelas isu dakwaan hina sahabat Nabi | The Reporter

Ahli Parlimen Pasir Puteh perjelas isu dakwaan hina sahabat Nabi

Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menjelaskan isu penggunaan istilah ceti dalam ceramah berkaitan sahabat Nabi.
Gambar: Facebook Ustaz Dr Nik Zawawi

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil menjelaskan kenyataannya yang tular berhubung dakwaan beliau yang didapati menghina sahabat Nabi Muhammad SAW ketika menyampaikan ceramah di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Beliau menegaskan penggunaan istilah ‘ceti’ hanyalah bagi memudahkan masyarakat memahami keadaan sistem ekonomi dan sosial masyarakat Arab Jahiliah sebelum kedatangan Islam, bukannya untuk menghina atau mencerca para sahabat Nabi SAW.

Menurutnya, semua masyarakat ketika itu, termasuk para sahabat, hidup dalam sistem jahiliah yang menekan dan tidak mempunyai panduan Islam kerana Rasulullah SAW belum diutuskan. Namun selepas menerima tarbiah Islam daripada Nabi Muhammad SAW, para sahabat berubah menjadi contoh terbaik kepada umat Islam.

“Saya menyebut Saidina Abu Bakar sebagai ‘ceti’. Jika sekiranya perkataan’ceti’ itu tidak sesuai, maka gunalah perkataan lain. Cuma saya ingin tegaskan bahawa Allah SWT mewujudkan para sahabat bersama Rasulullah SAW ini. Mereka wujud di zaman jahiliah terlebih dahulu, kemudian mereka berpindah ke zaman Islam.

“Dan ini adalah sistem jahiliah yang lebih kejam daripada ‘ceti’ yang ada pada hari ini. Saya sebut perkataan itu supaya masyarakat kita lebih mudah memahami bagaimana kejamnya zaman jahiliah dan bagaimana indahnya zaman Islam,” katanya.

Mahu lihat reaksi masyarakat

Nik Muhammad Zawawi berkata, beliau sengaja melengah-lengahkan penjelasan bagi melihat reaksi masyarakat terhadap isu berkenaan selain menafikan dakwaan bahawa beliau memperlekehkan sahabat Nabi.

Katanya, fokus utama ucapannya adalah mengenai keperluan mengubah sistem masyarakat kepada sistem Islam dan bukannya sekadar menukar individu semata-mata. Beliau turut menegaskan bahawa sistem tarbiah Islam mampu membentuk manusia menjadi lebih baik serta menjauhkan amalan rasuah dan penyelewengan.

Baca juga:

Beliau turut menegaskan bahawa para ulama ketika membincangkan masyarakat Jahiliah tidak pernah mengecualikan sesiapa daripada berada dalam sistem tersebut sebelum kedatangan Islam. Namun, katanya, keadaan itu tidak bermaksud para sahabat merupakan individu yang jahat atau hina.

Video ceramah tular

Terdahulu, tular video Nik Zawawi yang didakwa mengeluarkan kenyataan berkaitan beberapa sahabat Nabi ketika menyampaikan ceramah.

Antara dakwaan yang tular termasuk kenyataan bahawa Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA kononnya merupakan ‘bapa ceti’ pada zaman jahiliah dan menjadi kaya kerana memeras golongan miskin.

Selain itu, beliau juga didakwa menyebut bahawa Saidina Umar al-Khattab RA pernah terlibat dengan perbuatan zina pada zaman jahiliah, termasuk dakwaan berzina dengan isteri orang dan anak dara.

Related Posts