Penyanyi, pelakon dan pengacara Alif Satar terus aktif menerajui program kerohanian dengan menghimpunkan konvoi motosikal sempena Ride Subuh yang menuju ke Masjid Yayasan Mohamad Noah di Genting Highlands.
Program yang menghimpunkan komuniti peminat motosikal serta anak muda itu dimulakan seawal jam 5 pagi dengan pergerakan konvoi dari lokasi pertemuan mereka di sebuah stesen minyak sebelum bergerak secara beramai-ramai ke masjid berkenaan. Pelbagai jenis motosikal dilihat menyertai konvoi tersebut termasuk skuter, superbike, Vespa, Harley Davidson dan motosikal berkuasa tinggi lain.
Menurut Alif, program seumpama itu bukan sekadar aktiviti santai berkumpulan, sebaliknya bertujuan menggalakkan golongan muda untuk kembali mengimarahkan masjid, khususnya solat Subuh berjemaah. Beliau turut menyatakan hasrat untuk meneruskan siri Ride Subuh pada masa akan datang ke lokasi masjid lain yang lebih menarik dan strategik.
Baca juga:
- Roy Azman anggap filem Konspirasi pengalaman bermakna
- Filem Konspirasi didakwa henti tayangan, Sarimah Ibrahim luah rasa kecewa
- Tabung untuk Adrian Adam dihentikan, Pak Nil umum jumlah kutipan
Selain aktiviti konvoi, program tersebut turut diselitkan dengan pengisian tazkirah yang mengupas Surah Al-Adiyat, yang menekankan tentang pengajaran kesungguhan serta keinsafan manusia terhadap nikmat Allah SWT. Pengisian itu turut memberi penekanan agar umat Islam lebih istiqamah dalam ibadah serta mensyukuri nikmat yang dikurniakan.
Program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan pelbagai lapisan peserta yang hadir secara individu mahupun berkumpulan, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dalam usaha menghidupkan budaya solat Subuh berjemaah. Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah pelakon Hun Haqeem serta pempengaruh Ryzal Ibrahim.








