Ahli Parlimen Machang digantung enam bulan dari sidang Dewan Rakyat - The Reporter

Ahli Parlimen Machang digantung enam bulan dari sidang Dewan Rakyat

Sumber Gambar: Parlimen Malaysia

Susulan dakwaan mengenai surat layang mengandungi maklumat pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula semalam (Khamis).

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju, selepas undi belah bahagi dijalankan, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Usul berhubung penggantungan Wan Ahmad Fayhsal dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Tuntut penjelasan

Terdahulu, ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fayhsal menuntut penjelasan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB selepas beliau mendakwa menerima surat layang mendedahkan ‘dalang’ di sebalik keputusan berkenaan.

Beliau secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pada sesi penggulungan usul itu hari ini, Azalina berkata, ketetapan perlu dibuat bagi mengelak budaya buruk dalam kalangan Ahli Parlimen, yang merujuk kepada perkara tidak sahih dalam Dewan.

Perlu cari jalan penyelesaian

Beliau menegaskan, Ahli Parlimen sebaliknya perlu mencari jalan menyiasat surat layang berkenaan, seperti merujuknya kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), membuat laporan polis atau bertanya kepada menteri yang bertanggungjawab.

Azalina berkata, pegawai atasan KWSP yang disebut Wan Ahmad Fayhsal ialah pegawai kerajaan, sekali gus melanggar peraturan Dewan Rakyat yang tidak membenarkan Ahli Parlimen menyebut kelakuan atau sifat mana-mana pegawai kerajaan selain dalam menjalankan urusan sebagai pegawai kerajaan.

Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan tindakan Johari meluluskan usul itu untuk dibahas kerana pegawai atasan KWSP terbabit didakwa bukan pegawai kerajaan.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) menggesa Johari menarik semula usul berkenaan kerana didakwa rosak (defective).

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!