Agong titah semua pihak berhenti ambil kesempatan ke atas isu stoking tertera kalimah Allah - The Reporter

Agong titah semua pihak berhenti ambil kesempatan ke atas isu stoking tertera kalimah Allah

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan semua pihak berhenti mengambil kesempatan ke atas isu stoking tertera kalimah Allah kerana perkara itu kini sedang dalam proses perundangan.

“Saya telah menitahkan untuk tindakan diambil mengikut lunas undang-undang, maka tidak perlu lagi untuk mana-mana pihak terus mengapi-apikan kemarahan secara berterusan.

“Tindakan diambil bukanlah untuk menghukum semata-mata, tetapi sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua untuk menjaga sensitiviti rakyat Malaysia,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah, adalah lebih baik untuk masyarakat mengambil iktibar daripada kejadian ini dan berusaha untuk mengeratkan lagi perpaduan.

“Kemarahan yang berlarutan tidak akan menguntungkan sesiapa. Semua pihak, terutamanya pemimpin masyarakat perlu bertindak matang.

“Ajaklah rakyat ke arah perpaduan, bukan perpecahan. Inilah peluang untuk mendapat pemahaman yang lebih baik antara satu sama lain dalam masyarakat kita yang majmuk, agar perkara sebegini tidak berulang lagi,” titah Seri Paduka Baginda.

Sumber: Facebook Sultan Ibrahim

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!