Aktivis masyarakat, Abbe Hae tampil mendedahkan kronologi dirinya bersama 15 individu lain yang terpaksa bermalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan, susulan laporan polis berkaitan isu warga asing.
Menerusi perkongsian di media sosial, Abbe Hae mendakwa laporan polis terhadap mereka dibuat oleh tiga wanita yang menjalankan perniagaan dan didakwa menggaji warga asing.
Menurutnya, beliau bersama individu lain hadir ke IPD Kota Bharu kira-kira jam 3 petang pada 17 Oktober lalu selepas dipanggil untuk memberikan keterangan.
Katanya, sebelum itu beliau baru selesai meraikan tiga anak angkatnya dari Machang yang berjaya memperoleh dokumen MyKid sebelum bergegas ke balai polis.
“Bukan sekadar diambil keterangan, malah Abbe bersama adik-adik yang lain terpaksa bermalam di IPD. Abbe tak kisah bermalam di IPD demi sebuah perjuangan untuk anak bangsa Abbe.
“Apa yang membuat Abbe rasa amat terkilan adalah Abbe dan 15 yang lain terpaksa dibuat kawad cam dan cop jari 10,” katanya.
Beliau turut memaklumkan antara individu yang ditahan bersamanya ialah Dato Mizan dari I Sejahtera Malaysia, Tengku Harith yang terlibat dalam pengurusan jenazah di Pasir Puteh serta pengasas Pusat Pemulihan Akhlak dan Dadah Manzilu Rahmah, Ayahanda Paduka Abe Aziz.
Bukti rakaman
Dalam pada itu, Abbe Hae mendakwa mempunyai rakaman bertarikh 17 Oktober, kira-kira jam 8 malam, yang menunjukkan seorang warga asing menjaga kaunter sebuah premis perniagaan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada individu terbabit merupakan pekerja premis berkenaan atau wujud unsur penyalahgunaan lesen perniagaan.
Abbe Hae turut memaklumkan bahawa beberapa peguam sudah bersedia sekiranya beliau memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan.
Menurutnya, mereka dibebaskan kira-kira jam 12 tengah hari pada 18 Oktober, namun mendakwa alat komunikasi turut dirampas sebelum pembebasan tersebut.
Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa tangkapan dua lelaki berkaitan kes samun yang disebut dalam kenyataan media Ketua Polis Kelantan tidak melibatkan kumpulannya.
Rakam penghargaan buat polis
Walaupun meluahkan rasa terkilan terhadap kejadian itu, Abbe Hae tetap merakamkan penghargaan kepada pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Bharu atas layanan baik sepanjang mereka berada dalam tahanan.
“Abbe mohon jangan dikecam pegawai yang bertugas. Mereka hanya mengikut arahan yang diberikan,” katanya.
Terdahulu, Abbe Hae bersama 15 individu lain ditahan selepas hadir memberi keterangan di IPD Kota Bharu sebelum dibebaskan kira-kira jam 12 tengah hari pada 18 Oktober.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, dua kertas siasatan dibuka berhubung isu tular membabitkan seorang aktivis media sosial dan komuniti Rohingya mengikut Seksyen 341/268 serta Seksyen 395 Kanun Keseksaan.








