'Abang Bas' mengaku tidak bersalah, menangis bila didakwa melakukan amang seksual | The Reporter

‘Abang Bas’ mengaku tidak bersalah, menangis bila didakwa melakukan amang seksual

Kredit foto: Kosmo! Online

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang pemandu bas yang sebelum ini menjadi tular kerana memuat naik rakaman video penumpang bas sekolah sebagai ‘crush’ atau ‘kesayangan’, menangis apabila didakwa di Mahkamah Sesyen Muar, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak.

Tertuduh berusia 24 yang dikenali sebagai ‘Abang Bas’ itu mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, yang juga merupakan anak saudaranya, bagi maksud seksual.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan ini di dalam bas sekolah di Simpang Renggam, Kluang, antara bulan April hingga September 2024.

Untuk pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual.

Perbuatan itu berlaku di dalam bas sekolah pada bulan ini, di alamat yang sama.

Pihak Pendakwaan mencadangkan agar jaminan sebanyak RM50,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan, dengan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa dan semua saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan rendah diberikan, dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah.

Hakim Sayani Mohd. Nor kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan, dengan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan. Tarikh sebutan sebulan kes dan serahan dokumen telah ditetapkan pada 10 Oktober.

Sumber: Kosmo! Online

Related Posts