Lawan tumbang satu demi satu, Aaron-Wooi Yik mara ke final keempat | The Reporter

Lawan tumbang satu demi satu, Aaron-Wooi Yik mara ke final keempat

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik beraksi cemerlang dalam perlawanan separuh akhir Terbuka Singapura 2025
Aksi bertenaga Aaron-Wooi Yik ketika menewaskan beregu India di separuh akhir Terbuka Singapura. — Gambar IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Rentak cemerlang Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam siri kejohanan dunia terus mencuri tumpuan apabila mereka mara ke final keempat berturut-turut musim ini selepas mempamerkan aksi penuh disiplin untuk menumbangkan pasangan gergasi India di separuh akhir Terbuka Singapura 2025, hari ini.

Menentang Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, bekas beregu nombor satu dunia, gandingan Malaysia itu tenang mengatur strategi meskipun tewas set pembukaan 19-21, sebelum bangkit menguasai dua set berikutnya 21-10 dan 21-18 dalam pertarungan selama 64 minit.

Sorakan peminat Malaysia yang membanjiri Stadium Tertutup Singapura jelas menjadi tonik tambahan buat pasangan nombor tiga dunia itu, yang kini mencatat 10 kemenangan dalam 13 pertemuan menentang seteru dari India tersebut.

Bangkit dan kekal tenang hingga akhir

Walaupun beberapa kesilapan kecil di penghujung set pertama memberi ruang kepada lawan, Aaron-Wooi Yik bangkit dalam set kedua dengan aksi lebih agresif, mendominasi sepenuhnya dan menamatkan set dengan kemenangan selesa.

Set penentuan berlangsung dalam suasana tegang apabila kedua-dua pasangan saling kejar mata. Ketika lawan cuba mencipta kebangkitan dengan enam mata berturut-turut, Aaron-Wooi Yik tetap tenang dan menutup perlawanan dengan kemenangan bergaya.

“Hari ini memang satu perlawanan yang berkualiti tinggi dan sangat sukar kerana mereka adalah beregu berpengalaman. Setiap mata hari ini memang sangat penting untuk kami dan tidak boleh terlalu santai.

“Walaupun sudah mendahului satu atau dua mata, namun kami perlu fokus kerana mereka ada banyak strategi. Selain itu, pukulan-pukulan mereka juga sangat kritikal,” katanya memetik laporan dari Harian Metro.

Pasangan negara itu sebelum ini merangkul kejuaraan di Terbuka Thailand dan Kejohanan Badminton Asia, serta muncul naib juara Masters Malaysia, membuktikan konsistensi mereka dalam kancah antarabangsa tahun ini.

Di final esok, Aaron-Wooi Yik akan menentang Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan, yang menewaskan beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 21-17, 21-16 di separuh akhir.

“Lawan Korea nanti, kami hanya mahu melakukan yang terbaik dan kekal dengan langkah demi langkah. Kami akan berehat sebaiknya kerana tahu ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar,” ujar Aaron.

Related Posts