Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan penjelasan berhubung perubahan tempoh masa tambahan dalam perlawanan Indonesia menentang Bangladesh pada aksi Piala ASEAN FIFA 2026.
FAM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya memandang serius perkara yang berlaku pada perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi apabila masa tambahan yang pada awalnya ditunjukkan selama dua minit kemudian berubah kepada tujuh minit.
Menurut badan induk bola sepak negara itu, permohonan berkenaan akan dibuat bagi mendapatkan penjelasan mengenai asas, prosedur serta keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tambahan tersebut.
FAM berkata, pengurusan masa perlawanan merupakan antara aspek penting bagi memastikan setiap aksi berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan yang ditetapkan.
Wajar diberi perhatian
Perkara itu juga disifatkan wajar diberikan perhatian memandangkan perlawanan Indonesia-Bangladesh melibatkan persaingan menentukan kedudukan akhir Kumpulan A, sekali gus memberi kesan kepada penentuan pasukan yang layak ke final.
Dalam aksi terakhir Kumpulan A yang berlangsung serentak malam tadi, Malaysia membelasah Singapura 6-0 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, manakala Indonesia menewaskan Bangladesh 9-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia dan Indonesia masing-masing menamatkan saingan dengan tujuh mata serta perbezaan jaringan sama, iaitu +9. Bagaimanapun, Indonesia muncul juara kumpulan dan mara ke final menerusi kelebihan jumlah jaringan selepas menghasilkan 11 gol sepanjang saingan kumpulan berbanding sembilan gol oleh Malaysia.
Dalam perlawanan Indonesia-Bangladesh, skuad Garuda menjaringkan dua gol pada penghujung masa tambahan menerusi Kevin Diks pada minit ke-90+6 dan Mitchell Baker seminit kemudian untuk melengkapkan kemenangan 9-2.
Penelitian insiden
Sehubungan itu, FAM menggesa FIFA menjalankan penelitian terhadap insiden berkenaan selain memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat pegawai perlawanan, termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan itu dilaksanakan mengikut prosedur serta peraturan yang berkuat kuasa.
Bagaimanapun, FAM menegaskan permohonan berkenaan bukan bertujuan mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan.
Sebaliknya, langkah itu dibuat bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan supaya kekeliruan berhubung insiden tersebut dapat diperjelaskan.








