Kisah seorang pemuda dikenali sebagai Haziq yang pernah tular susulan konflik keluarga beberapa tahun lalu kembali mencuri perhatian, namun kali ini dengan perkhabaran yang jauh lebih menggembirakan apabila dia berjaya menamatkan pengajian dan bergelar Leftenan Muda.
Menerusi perkongsian di TikTok, Haziq meluahkan rasa syukur atas perjalanan hidupnya selepas melalui tempoh sukar, termasuk kehilangan ibu ketika baru memulakan kehidupan di universiti serta berdepan konflik bersama ibu saudaranya.
Kisah Haziq sebelum ini pernah mendapat perhatian selepas rakaman audio yang mengandungi kata-kata kecaman dipercayai ditujukan kepadanya dan adik-beradiknya tersebar di media sosial. Dalam rakaman berkenaan, kedengaran pelbagai kata-kata kasar dan penghinaan, selain Haziq didakwa tidak dibenarkan kembali ke rumah berkenaan.
Namun selepas beberapa tahun berlalu, Haziq memilih untuk menjadikan pengalaman pahit itu sebagai pembakar semangat untuk meneruskan kehidupan dan membuktikan kemampuannya.
“Terima kasih untuk setiap kata-kata yang pernah dilontarkan. Walaupun pedihnya menghiris segala rasa di hati, walaupun sakitnya seakan-akan meruntuhkan seluruh harapan, namun pada hakikatnya ketahuilah bahawa setiap hinaan itulah mengajarkan diri ini untuk berdiri, bertahan dan terus melangkah,” tulisnya.
Baca juga:
- Akmal Saleh berjaya kumpul RM180,000 hasil jual motosikal, ikan
- ‘Kalau kita bagi subsidi, kita mengajar rakyat malas’ – MP Pasir Puteh
- Rafizi arah peguam mulakan proses saman terhadap Ramanan
Menurut Haziq, permulaan kehidupannya di universiti tidak berjalan dengan baik susulan pemergian ibu, namun perjalanan selama tiga tahun itu akhirnya memberikan pelbagai pencapaian, kejayaan dan kenangan yang cukup bermakna buat dirinya.
“Siapa sangka? Permulaan perjalanan di universiti yang tidak begitu baik dek kerana pemergian ibu, akhirnya berubah kepada pengakhiran yang begitu indah. Begitu banyak pencapaian, kejayaan dan kenangan yang dapat diraih dan dirasai sepanjang tiga tahun di sini. Mungkin inilah hikmah yang Tuhan janjikan,” katanya.
Dalam pada itu, Haziq turut menghargai individu yang tidak pernah berhenti mendoakan dan memberikan semangat kepadanya terutama ketika berada dalam keadaan rapuh dan hampir hilang kekuatan untuk meneruskan perjalanan.
Katanya, setiap doa, kata-kata serta sokongan yang diterima akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kisah hidupnya, selain berharap lebih banyak kejayaan dapat dicapai pada masa akan datang.
Dalam satu perkongsian di sebuah stesen radio, ketika ditanya mengenai hubungannya dengan ibu saudara selepas kisah tersebut berlalu kira-kira dua hingga tiga tahun, Haziq memaklumkan mereka kini tidak lagi berhubung.








