Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan Datuk Seri Aminuddin Harun merupakan ‘poster boy’ tunggal Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus menyeru seluruh jentera gabungan itu bersatu memberi sokongan penuh kepada Menteri Besar berkenaan.
Menurut beliau, Aminuddin adalah satu-satunya calon Menteri Besar dan panglima kempen PH di negeri itu, justeru semua pimpinan serta jentera parti komponen perlu bergerak sebagai satu pasukan.
“Di Negeri Sembilan, poster boy kita jelas. Calon Menteri Besar hanya ada seorang. Panglima perang kita hanya ada seorang, iaitu Datuk Seri Aminuddin Harun, Tok Min sebagai Menteri Besar kita.
“Walaupun di peringkat Persekutuan saya seorang menteri, tetapi di Negeri Sembilan bos ialah Tok Min. Saya pengikut dan saya akan sokong beliau sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PRN Negeri Sembilan.
Kerjasama dalam pasukan
Anthony berkata, kempen PH di negeri itu perlu berteraskan semangat berpasukan tanpa mengira parti komponen, dengan semua 36 calon yang diumumkan mewakili Pakatan Harapan, bukannya DAP, PKR atau Amanah secara berasingan.
Beliau berkata, setiap pimpinan dan jentera perlu membantu calon di semua kawasan, bukan hanya tertumpu di kawasan masing-masing, bagi memastikan kemenangan PH dan mempertahankan pentadbiran negeri.
Baca juga:
- ‘Aminuddin Harun poster boy dan panglima perang PH di Negeri Sembilan’ – Anthony Loke
- ‘DAP dalam kerajaan Melaka umpama ‘bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak’
- Albert Tei tarik diri bertanding lawan Anthony Loke di DUN Chennah, sokong calon MCA
Mengulas strategi kempen, Anthony turut mencadangkan agar semua penyokong dan jentera PH memakai baju merah sepanjang tempoh berkempen sebagai simbol penyatuan gabungan itu.
“Kita tidak pakai baju biru muda, kita tidak pakai baju oren, kita tidak pakai baju putih. Kita hanya pakai baju merah. Kita bangkitkan gelombang merah di Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa jentera PH menjadikan keputusan PRN Johor sebagai pengajaran dan memperbaiki segala kelemahan bagi memastikan kemenangan di Negeri Sembilan.
Anthony berkata, PH mempunyai rekod pentadbiran yang boleh dipertahankan selepas berjaya mentadbir Negeri Sembilan sejak 2018 dengan peningkatan rizab kerajaan negeri, pertumbuhan pelaburan serta pelaksanaan pelbagai dasar kebajikan untuk rakyat.









