‘Tiada keadilan!’ – Hossam Hassan ikrar tidak akan tonton Piala Dunia lagi | The Reporter

‘Tiada keadilan!’ – Hossam Hassan ikrar tidak akan tonton Piala Dunia lagi

Hossam Hassan jurulatih Mesir kecewa selepas kekalahan kepada Argentina dalam Piala Dunia
Hossam Hassan. Gambar: Facebook Real Madrid Updates

Jurulatih Mesir, Hossam Hassan meluahkan rasa kecewa terhadap mutu pengadilan selepas Mesir tersingkir daripada saingan Piala Dunia 2026 susulan kekalahan dramatik 3-2 kepada Argentina dalam aksi pusingan 16 terbaik.

Hassan mendakwa kemenangan Argentina adalah ‘tidak wajar’ dan menyifatkan keputusan perlawanan itu jauh daripada semangat fair play serta rasa hormat yang sepatutnya dijunjung oleh FIFA.

“Kami sepatutnya yang menang. Kami tersingkir dengan penuh maruah, tetapi keputusan ini jauh daripada fair play. Kemenangan Argentina tidak wajar. Saya berjanji selepas hari ini saya tidak akan menonton lagi Piala Dunia kerana tiada keadilan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Mesir sebelum itu berada di landasan mencipta kejutan apabila mendahului 2-0 sehingga minit ke-79. Bagaimanapun, kebangkitan lewat yang diketuai Lionel Messi menyaksikan Argentina menjaringkan tiga gol dalam tempoh 11 minit terakhir untuk mara ke suku akhir.

Menurut Hassan, kemarahannya bukan semata-mata disebabkan kekalahan, sebaliknya berpunca daripada beberapa keputusan pengadil yang dianggap merugikan Mesir.

Baca juga:
Semakan VAR

Beliau mendakwa gol ketiga Mesir yang dijaringkan Mostafa Zico dibatalkan selepas semakan VAR tanpa alasan yang memuaskan. Selain itu, beliau turut mendakwa Mesir sepatutnya diberikan sepakan penalti selepas Hamdy Fathy dikasari di dalam kotak penalti, namun insiden tersebut tidak disemak menggunakan VAR. Tidak lama selepas itu, Argentina menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Dalam sidang media yang sama, Hassan turut membayangkan wujud kecenderungan untuk memastikan juara bertahan itu terus kekal dalam kejohanan, malah mendakwa mungkin terdapat keinginan untuk memastikan Messi terus beraksi di Piala Dunia.

Walaupun kecewa dengan keputusan pengadilan, Hassan tetap memuji persembahan anak buahnya yang disifatkan bermain penuh disiplin dan berjaya memberi tentangan hebat kepada juara bertahan, meskipun majoriti pemain Mesir beraksi dalam liga domestik.

Related Posts