'Sultan Selangor tidak perkenan solat Jumaat di surau pusat beli-belah' - MAIS | The Reporter

‘Sultan Selangor tidak perkenan solat Jumaat di surau pusat beli-belah’ – MAIS

Surau pusat beli-belah
Gambar hiasan

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memaklumkan bahawa surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri itu tidak akan diberikan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat buat masa ini selaras dengan ketetapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi MAIS, Senator Datuk Haji Salehuddin Saidin berkata, perkara berkaitan masjid, surau dan musolla berada di bawah bidang kuasa negeri selaras dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri mempunyai kuasa prerogatif dalam membuat ketetapan berkaitan pentadbiran agama Islam termasuk kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musolla.

“MAIS telah dimaklumkan bahawa buat masa ini Baginda Sultan tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di Negeri Selangor diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan.

MAIS menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor, antaranya kebimbangan ia boleh menjejaskan usaha memakmurkan masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam.

Baca juga:
Masjid di Selangor

Menurut MAIS, Selangor ketika ini mempunyai 448 masjid dan 379 surau yang telah diberikan kebenaran solat Jumaat, jumlah yang disifatkan mencukupi untuk menampung keperluan umat Islam di negeri tersebut.

Selain itu, MAIS berkata terdapat masjid dan surau solat Jumaat yang berhampiran dengan pusat beli-belah bagi memudahkan orang awam menunaikan ibadah berkenaan.

MAIS turut berpandangan solat Jumaat lebih sesuai dilaksanakan di masjid dan surau yang dibina khusus sebagai tempat ibadah berbanding surau atau musolla di pusat beli-belah yang lazimnya menjadi lokasi perniagaan, hiburan dan rekreasi untuk masyarakat pelbagai kaum serta agama.

Dalam masa sama, aspek pengurusan termasuk pelantikan imam, bilal dan petugas lain turut menjadi pertimbangan sebelum sesuatu kebenaran diberikan.

Pengurusan surau

MAIS berkata, pemantauan terhadap pengurusan surau atau musolla termasuk pematuhan khutbah Jumaat yang disediakan oleh MAIS perlu dipastikan sekiranya kebenaran solat Jumaat diberikan.

“Pihak MAIS juga perlu mengambil perhatian terhadap aspek bagi pelantikan Imam, Bilal dan petugas lain yang diperlukan serta pengurusan dan tadbir urus surau/musolla tersebut agar menepati segala peraturan dan dasar yang telah ditetapkan.

“Dalam keadaan lain, jika petugas bagi surau kebenaran solat Jumaat di pusat beli-belah tersebut tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyebabkan kesukaran dari aspek pemantauan dan kawalan terhadap pengurusan surau/musolla tersebut termasuk memastikan pematuhan dan keseragaman pembacaan khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak MAIS,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, MAIS memaklumkan terdapat satu surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor yang pernah diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat secara sementara.

Kebenaran itu diberikan kerana tiada masjid berhampiran dengan premis berkenaan, namun ia akan ditarik balik sekiranya sebuah masjid dibina berdekatan pada masa hadapan dan mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat.

MAIS menegaskan ketetapan Sultan Selangor itu bertujuan memperkukuhkan fungsi masjid sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu dan dakwah, selain menyeru umat Islam terus mengimarahkan masjid serta surau di negeri itu.

Related Posts