Ketua Perangkawan raikan persaraan dengan larian istimewa sejauh 60.87km | The Reporter

Ketua Perangkawan raikan persaraan dengan larian istimewa sejauh 60.87km

Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin menamatkan larian 60.87km sempena persaraan sebagai Ketua Perangkawan Malaysia
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Gambar: Facebook DrUzir Mahidin

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mencipta kenangan istimewa menjelang persaraan wajibnya apabila menamatkan larian sejauh 60.87 kilometer (km), Sabtu lalu.

Larian berkenaan membawa simbolik tersendiri apabila angka 60.87km itu bertepatan dengan usia beliau yang mencecah 60 tahun pada 8 Julai ini, selain menandakan penghujung perjalanan kerjayanya dalam perkhidmatan awam.

Komitmen beliau menamatkan larian jarak jauh berkenaan dilihat menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya golongan muda, untuk mengamalkan gaya hidup aktif serta mencabar kemampuan diri.

Beliau menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 8 Julai selepas 36 tahun menabur bakti dalam bidang statistik negara, termasuk sembilan tahun menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai Ketua Perangkawan Malaysia.

Mohd Uzir memulakan kerjaya di DOSM pada 2 Januari 1990 sebelum dilantik menerajui jabatan berkenaan, memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem statistik negara sebagai asas kepada perancangan dasar dan pembangunan negara.

Baca juga:

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menerusi hantaran di media sosial berkata beliau menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Mohd Uzir baru-baru ini.

Beliau merakamkan penghargaan atas khidmat bakti dan kepimpinan Mohd Uzir dalam mengangkat peranan ekosistem statistik negara.

“Semoga Dato’ Sri terus dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan kejayaan dalam fasa seterusnya. Terima kasih atas segala jasa kepada perkhidmatan awam dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, warga DOSM turut menzahirkan penghargaan kepada Mohd Uzir atas sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang menerajui jabatan tersebut.

Menurut DOSM, sepanjang tempoh kepimpinannya, Mohd Uzir memainkan peranan penting dalam mentransformasikan sistem statistik negara agar lebih moden, berintegriti, diyakini serta memenuhi keperluan pembangunan semasa.

“Komitmen, wawasan dan dedikasi yang ditunjukkan akan terus menjadi legasi berharga serta sumber inspirasi kepada seluruh warga DOSM dalam meneruskan amanah dan kecemerlangan jabatan,” menurut kenyataan itu.

Related Posts