Seorang guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang murid perempuan berusia tujuh tahun dengan membaling pemadam papan putih sehingga lebam di bahagian bawah mata kanan mangsa.
Memetik laporan Harian Metro, tertuduh, Fakhriah Bustani, 47, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap murid terbabit di sebuah sekolah kebangsaan di Tongkang Pecah pada jam 9 pagi, 1 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dan menetapkan 21 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Baca juga:
- Albert Tei pertimbang sertai PRN Negeri Sembilan, sasar kerusi Anthony Loke
- MEF sedia tawarkan pekerjaan sektor 3D kepada pelarian Rohingya
- Guru berdepan tuduhan baling pemadam papan putih hingga murid lebam bawah mata
Berdasarkan fakta kes, mangsa pulang ke rumah selepas kejadian dan memaklumkan kepada keluarganya bahawa seorang guru membaling pemadam papan putih ke arahnya sehingga terkena berhampiran mata.
Siasatan polis mendapati tertuduh bertindak demikian kerana mendakwa murid berkenaan tidak memberi tumpuan sepenuhnya ketika sesi pembelajaran di dalam kelas.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan lebam di bahagian bawah mata kanan selepas terkena pemadam papan putih.
Pemeriksaan pegawai perubatan turut mengesahkan kecederaan yang dialami mangsa adalah perbuatan yang didakwa dilakukan oleh tertuduh.









