Bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Tan Sri Noh Omar mengumumkan beliau melepaskan semua jawatan serta keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kembali menyertai UMNO serta Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta.
Noh berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beliau melihat ketegasan prinsip UMNO Johor yang mahu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, seperti yang ditegaskan Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurut beliau, pendirian itu selari dengan prinsip perjuangannya, sekali gus mendorong beliau untuk kembali bersama UMNO dan BN menjelang PRN Johor. Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa UMNO akan terus mempertahankan prinsipnya pada pilihan raya akan datang.
Noh memaklumkan bahawa keputusannya meninggalkan Bersatu tidak memerlukan surat rasmi kerana pengumuman terbuka yang dibuat sudah memadai untuk membatalkan keahliannya dalam parti tersebut. Katanya, tindakan itu diambil selepas beliau mendakwa Bersatu tidak menghormati prinsip dan keputusan yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi parti.
Baca juga:
- Noh Omar tinggalkan Bersatu, kembali sertai UMNO
- ‘DUN Negeri Sembilan rasmi dibubar, serah mandat semula kepada rakyat’ – Aminuddin
- BERSATU pandang serius kenyataan Presiden PAS
Dalam masa sama, beliau berharap UMNO dapat menjalin semula kerjasama dengan PAS bagi memperkukuhkan perpaduan Melayu di negara ini. Menurutnya, gabungan kedua-dua parti itu berpotensi membentuk kerajaan tanpa bergantung kepada parti-parti lain.
Untuk rekod, Noh menyertai Bersatu pada Julai 2024 selepas dipecat daripada UMNO pada tahun 2023 susulan dakwaan melanggar disiplin parti ketika Pilihan Raya Umum ke-15.
Sumber: Malaysia Kini, Sinar Harian









